KUALA LUMPUR 19 Nov - Airbus baru-baru ini mempamerkan generasi akan datang helikopter H160 yang mempunyai enjin berkembar, memberikan pengalaman secara langsung kepada rakyat Malaysia untuk mengalami sendiri inovasi pengangkutan udara kelas sederhana itu.
H160, yang dianugerahkan pensijilan bagi jenisnya oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) pada Oktober 2023, menampilkan teknologi paling canggih, termasuk bilah rotor Blue Edge yang mengurangkan tahap bunyi bising, rotor ekor miring Fenestron yang memberikan kemampuan muatan berguna lebih besar serta dilengkapi kabin avionik Helionix Helikopter Airbus yang mampu mengurangkan beban kerja juruterbang.
Ia direka untuk memenuhi keperluan juruterbang dan juruteknik merentasi semua segmen misi, sekali gus memberikan nilai tambah kepada pelanggan melalui penyampaian prestasi dipertingkat dan ketersediaan, daya saing ekonomi, inovasi, keselamatan dan keselesaan.
Buat masa kini, ia mempunyai pelanggan daripada pelbagai segmen utama antaranya sektor tenaga, penerbangan peribadi dan perniagaan, perkhidmatan rawatan kecemasan, usaha mencari dan menyelamat, penguatkuasaan undang-undang dan ketenteraan.
Dengan H160, pelanggan akan dapat menghargai tahap penerbangan yang lebih selesa melalui penawaran ruang yang lebih besar bagi setiap penumpang berbanding helikopter berkembar-sederhana yang lain serta tingkap yang lebih besar mewujudkan ruang kabin yang cerah dalam kelasnya.
Selain itu, dengan keupayaan pengurangan pengunaan bahan api sebanyak 18% dan pengurangan pencemaran bunyi sehingga 50%, H160 membolehkan pelanggan memacu langkah dalam usaha mengurangkan kesan jejak karbon mereka.
Dengan pengunaan bahan api yang rendah, kos penyelenggaraan yang lebih optimum dan kelajuan rondaan yang lebih pantas, H160 membuka jalan dalam keupayaan daya saing ekonomi apabila dibandingkan dengan helikopter lain dalam kelasnya.
Sehingga kini, sejumlah lebih 30 buah H160 telah digunakan di 13 buah negara, merangkumi pelbagai misi di seluruh dunia.
Ketua Jualan dan Pemasaran, Asia-Pasifik, Airbus Helikopter, Thomas Zeman berkata, helikopter tersebut menetapkan standard baharu dalam industri helikopter dan pihaknya berbesar hati dapat membawa H160 ke Malaysia untuk dilihat sendiri secara langsung oleh operator.
"H160 menampilkan tahap pengunaan bahan api yang lebih rendah, berupaya untuk menggunakan sehingga 50% campuran SAF, kabin yang selesa dan keupayaan penglihatan kokpit yang luas menjadikan ia sangat sesuai untuk pelbagai misi.
"Kami berharap untuk melihat lebih banyak lagi H160 yang akan terbang di ruang udara Malaysia tidak lama lagi," katanya dalam satu kenyataan. - DagangNews.com