KUALA LUMPUR 4 Dis - Aliran masuk pelabur asing dalam ekuiti Malaysia sehingga ini (YTD) merosot kepada RM1.32 bilion berbanding RM2.34 bilion pada tahun lepas berikutan pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS), kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Firma itu berkata, susulan pilihan raya itu, aliran keluar pelabur asing dalam ekuiti pada November mencecah RM3.1 bilion, menunjukkan pengeluaran terbesar sejak Mac 2020, semasa permulaan pandemik Covid-19.
"Pegangan asing bon Ringgit jatuh RM11.4 bilion pada Oktober 2024, pengeluaran terbesar sejak Mac 2020.
"Pengeluaran itu mungkin akibat pengambilan untung dan kedudukan defensif menjelang pilihan raya AS," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Maybank IB berkata, lima saham teratas yang dibeli pelabur asing pada November 2024 (mengikut nilai) adalah Tenaga Nasional Bhd, Malayan Banking Bhd (Maybank), Public Bank Bhd, MISC Bhd dan Telekom Bhd.
Sementara itu, lima saham teratas dijual mereka adalah Kuala Lumpur Kepong Bhd, Nestle Sdn Bhd, Public Bank Bhd, RHB Bank Bhd dan Petronas Chemicls Group Bhd.
Mengulas tentang pelabur tempatan pula, firma penyelidikan itu berkata pelabur runcit membeli RM22 juta ekuiti Malaysia manakala, pelabur institusi tempatan menjual ekuiti Malaysia sebanyak RM3.32 bilion pada November 2024.
“Purata dagangan harian (ADV) meningkat bulan ke bulan (MoM) pada November 2024 kepada RM3.32 bilion daripada RM2.7 bilion dalam bulan sebelumnya, dengan pergerakan pelabur asing (kecuali urus niaga langsung) sebanyak 41.5%, mankala pelabur institusi dan pelabur runcit masing-masing pada 40.6% dan 17.9%,” katanya.- DagangNews.com