Alpha IVF catat untung bersih RM14.4 juta pada 1QFY25 didorong permintaan tinggi rawatan kesuburan pesakit asing | DagangNews Skip to main content

Alpha IVF catat untung bersih RM14.4 juta pada 1QFY25 didorong permintaan tinggi rawatan kesuburan pesakit asing

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Okt - Pakar rawatan kesuburan, Alpha IVF Group Bhd mencatatkan untung bersih sebanyak RM14.4 juta pada suku pertama berakhir 31 Ogos 2024 (1QFY25).

 

Kumpulan itu juga mencatatkan hasil sebanyak RM43 juta pada suku berkenaan, didorong permintaan tinggi berterusan untuk rawatan kesuburan daripada pesakit asing, terutamanya Indonesia dan China.

 

Tiada angka perbandingan untuk hasil dan untung bersih bagi untuk tempoh yang sama pada tahun sebelumnya disebabkan oleh penyenaraian kumpulan itu hanya berlaku pada Mac 2024.

 

Operasi Malaysia menyumbang RM35.4 juta atau 82.3% daripada pendapatan kumpulan pada suku tersebut, dengan bakinya daripada operasi Singapura. 

 

Pesakit dari Indonesia, China, Singapura dan negara lain menyumbang RM25.5 juta, atau 71.9% daripada hasil operasi Malaysia, manakala pesakit tempatan menyumbang RM9.9 juta, atau 28.1%.

 

Pada suku tersebut, pesakit Indonesia membentuk sumbangan terbesar kepada pendapatan kumpulan, menjana RM15.1 juta atau 35.1%.

 

Pada masa yang sama, sumbangan hasil daripada pesakit China menyaksikan pertumbuhan yang ketara, meningkat daripada 7.5% daripada hasil kumpulan pada FY24 kepada 16.2% pada 1QFY25, menunjukkan potensi kukuh untuk pertumbuhan berterusan pada suku akan datang.

 

Pengarah Urusan kumpulan, Datuk Dr Colin Lee Soon Soo berkata, prestasi kukuh pada suku pertama menandakan permulaan yang positif untuk tahun kewangan, didorong oleh permintaan tinggi yang berterusan untuk rawatan kesuburan.

 

"Kami telah melihat pertumbuhan ketara dalam pasaran Indonesia dan China dan yakin dengan keupayaan kami untuk mengekalkan trajektori menaik ini melalui strategi pertumbuhan berterusan kami, yang termasuk pengembangan di kedua-dua negara.

 

"Kami telah mencapai kemajuan yang ketara dalam usaha pengembangan kami, termasuk pusat IVF baharu di Filipina, penubuhan pejabat jualan dan perwakilan pertama kami di China, dan penubuhan klinik satelit pertama kami di Indonesia. 

 

"Kumpulan juga optimis inisiatif itu akan meletakkan asas yang kukuh untuk pertumbuhan dan kejayaan jangka panjang kami," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Mengulas mengenai prospek, Colin berkata, pihaknya yakin dengan pandangannya disokong dua pemacu pertumbuhan ketara.

 

"Di peringkat tempatan, pertumbuhan organik dari pusat kami di Malaysia akan dipertingkatkan lagi melalui pejabat wakil jualan kami di China dan klinik satelit di Indonesia. Di peringkat serantau, kami menjangkakan aliran pendapatan baharu dengan pembukaan pusat IVF sepenuhnya di Filipina dan Indonesia," katanya. - DagangNews.com