JAC Motors perbaharui komitmen kepada Malaysia dengan pratonton pikap T9 4x4 BEV baharu | DagangNews Skip to main content

JAC Motors perbaharui komitmen kepada Malaysia dengan pratonton pikap T9 4x4 BEV baharu

Oleh Shamsiah Zulkafli

PETALING JAYA 21 Okt - Pengeluar kereta China, JAC Motors menerusi wakil pengedar rasminya, Evolvelectric Motors Sdn Bhd, memperkenalkan pikap elektrik pacuan empat roda JAC T9 yang akan dijual di bawah harga RM 200,000 untuk 100 tempahan pertama.

 

Pikap elektrik pacuan empat roda itu mempunyai dua motor elektrik di bahagian hadapan dan belakang, dengan motor hadapan dapat memberikan kuasa 70 Nm tork dan motor belakang dapat memberikan kuasa 150 Nm. 

 

Gabungan kedua-dua motor tersebut memberikan tork tertinggi 516 Nm membolehkan pecutan 0-100km/j sepantas 8.4 saat dengan kelajuan tertinggi 140 km/j.

 

Ia mempunyai bateri sebesar 88 kWh dengan jarak perjalanan sejauh 340km WLTP dan pengecasan AC 11 kW yang membolehkan pengecasan 15%-100% sekitar 6 jam 50 minit atau pengecasan pantas DC 88kW membolehkan pengecasan 30-80% sepantas 35 minit.

 

pikap

 

Sebagai pikap elektrik, JAC T9 EV turut mempunyai pelbagai ciri keselamatan dan keselesaan buat penumpang antaranya bumbung lutcahaya, pengesan sudut titik buta (blindspot detection), paparan pemanduan digital, sistem inforia dengan paparan 10.4-inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, saluran pendingin hawa untuk penumpang belakang dan bermacam-macam lagi. 

 

Trak elektrik tersebut turut dilengkapi dengan fungsi swapandu tahap 2 seperti pembrekan kecemasan automatik, Lane Keeping Assist, Intelligent Cruise Assist, dan lain-lain. 

 

Buat masa ini harga Pikap elektrik JAC T9 EV masih tidak diumumkan, namun pihak JAC telah mula membuka tempahan untuknya dan turut menyatakan pikap itu akan dijual di bawah harga RM200,000 untuk 100 pembeli terawal sebelum akhir 2024. 

 

Pikap elektrik tersebut juga akan ditawarkan dengan jaminan selama enam tahun atau jarak perbatuan 200,000 kilometer, manakala JAC Motors turut menyatakan versi T9 PHEV akan ditawarkan seawal suku kedua tahun 2025.

 

pikap

 

Selain itu, JAC Motors turut memperkenalkan barisan kenderaan komersial yang terdiri daripada dua model diesel dan tiga model elektrik (EV) untuk pasaran Malaysia, bermula dari harga RM87,000 sehingga RM265,000.

 

Lima model tersebut adalah JAC N50 Diesel pada anggaran harga RM87,000, JAC N80 Diesel  (RM117,000), JAC i75 EV (RM245,000), JAC i80 EV (RM265,000) dan JAC i40 EV (RM140,000).

 

Bagi JAC N50, trak diesel tugas ringan empat roda itu menampilan reka bentuk ringan menggunakan aluminium aloi dan struktur baharu bagi mengurangkan berat kenderaan, sementara JAC N80 yang mempunyai enam roda direka untuk tugas sederhana.

 

Ia memiliki jarak roda 3,845mm atau 4,475mm dengan panjang rangka untuk muatan 17 kaki/20 kaki. Casis kabin mampu menampung muatan 5,500 kilogram dengan berat keseluruhan (termasuk muatan) hingga 7,500 kilogram.

 

Untuk model JAC i75 EV dan JAC i80 EV, dua trak elektrik EV itu berbeza dari segi dimensi dan output kuasa walaupun menggunakan jenis bateri sama iaitu CATL litium-besi-fosfat (LFP). 

 

Model JAC i40 EV pula ialah trak elektrik jenis tugas ringan dengan berat muatan 3,700 kilogram dan memiliki jarak roda 3,100mm, selain menggunakan bateri CATL jenis LFP 63.75kWh dengan pengecasan standard (AC) 20-100 peratus mengambil masa 8.5 jam, dan pengecasan pantas (DC) 20-100 peratus mengambil masa 1.1 jam.

 

Pengurus Besar JAC Auto Malaysia, Henry Xia berkata, beliau teruja meraikan komitmen baharu JAC Motors kepada pasaran Malaysia dengan rangkaian kenderaan termaju dan mampan.

 

"Barisan EV komersial ringan dan siri pikap T9 mencerminkan dedikasi kami terhadap inovasi, keselamatan dan prestasi. Kami berharap untuk bekerjasama rapat dengan pengedar Malaysia kami untuk pikap JAC T9, Evolvelectric Motors Sdn Bhd untuk mewujudkan asas pelanggan yang kukuh dan masa depan yang mampan bersama," katanya dalam satu kenyataan. - DagangNews.com