KUALA LUMPUR 27 Nov - Harga unit Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT) dijangka naik berikutan peningkatan kadar penghunian pusat beli-belah sedia ada dengan penyewa baharu dijamin kata, AmInvestment Bank Research.
Walaupun purata kadar penghunian pusat membeli-belah merosot sedikit kepada 85.6% pada 3QFY24, AmInvestment menjangkakan ia akan kembali pulih pada 4QFY24.
"Penurunan purata kadar penghunian pada 3QFY24 itu adalah akibat pengurangan penghunian Central Square dan Segamat Central.
"Jika berdasarkan penyewaan yang komited, purata kadar penghunian pusat membeli-belah akan lebih tinggi iaitu 88.8% pada 3QFY24.
"Penyewa baharu di Subang Parade, Mahkota Parade, Central Square dan Segamat Central dijangka akan menaikkan purata keseluruhan kadar penghunian pusat beli-belahnya kepada 92% menjelang akhir FY24," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Sehubungan dengan itu, AmInvestment menjangkakan hasil pengagihan sewa meningkat kepada 8.9% daripada 6.5% pada FY24 berdasarkan peningkatan purata kadar penghunian pusat beli-belahnya.
Oleh itu, AmInvestment mengekalkan saranan "beli" ke atas Hektar REIT dengan harga sasaran (TP) pada 86 sen sesaham.
“Kami menjangkakan peningkatan harga seunit berikutan kenaikan kadar penghunian pusat beli-belah sedia ada.
“Selain itu, aset Kolej Yayasan Saad akan bermula menyumbang kepada hasil kumpulan dengan kadar pengembalian sewa tahunan yang stabil sebanyak 2.5% sepanjang tempoh pajakan selama 30 tahun.
"Risiko terhadap saranan kami termasuk hasil MGS 10 tahun yang lebih tinggi daripada jangkaan akibat kadar faedah yang tinggi selepas pilihan raya Amerika Syarikat yang boleh merendahkan hasil pengedaran REIT," katanya. - DagangNews.com