Amir Hamzah: Kerajaan kaji data, pastikan subsidi membantu golongan yang tepat | DagangNews Skip to main content

Amir Hamzah: Kerajaan kaji data, pastikan subsidi membantu golongan yang tepat

Oleh BERNAMA

KUALA LUMPUR 21 Okt - Kerajaan masih mengkaji data dan akan memastikan subsidi petrol, kesihatan dan pendidikan membantu golongan yang betul, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

 

Beliau berkata penarikan balik subsidi RON95 untuk T15 dan warga asing adalah sebahagian daripada usaha kerajaan yang lebih meluas untuk memastikan subsidi lebih disasarkan kepada golongan yang benar-benar memerlukannya.

 

“Saya fikir perkara yang paling penting ialah, apa sahaja yang kita lakukan dalam kerajaan, adalah penting untuk meneliti data dengan baik dan memastikan ia benar-benar tertumpu kepada kumpulan yang betul.

 

“Masih banyak kerja yang sedang dijalankan, jadi saya rasa kita tidak patut membuat spekulasi mengenai ambang itu dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam Gala Diraja meraikan ulang tahun ke-120 St John's Institution di sini pada Sabtu.

 

Beliau berkata, butiran pengeluaran seperti ambang pendapatan dan mekanisme pelaksanaan masih dalam perbincangan.

 

“… dari segi kadar ambang dan mekanisme, kami akan umumkan tahun depan,” tambahnya.

 

Pada Jumaat, ketika Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan Ketiga Madani 2025, beliau berkata kerajaan akan menjaga kepentingan majoriti rakyat melalui pelaksanaan langkah subsidi bersasar.

 

Anwar berkata kerajaan bercadang untuk melaksanakan langkah subsidi bersasar untuk petrol RON95 menjelang pertengahan 2025, sambil menambah bahawa penjimatan daripada langkah ini akan digunakan untuk kesejahteraan sebahagian besar rakyat. - DagangNews.com