KUALA LUMPUR 4 Nov - Hospital swasta di Malaysia melabur antara RM40 juta dan RM60 juta dalam biasiswa kejururawatan, khususnya untuk kumpulan berpendapatan B40 dan M40, bagi memupuk pembangunan modal insan di negara ini.
Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr Kuljit Singh berkata, walaupun graduan kejururawatan lazimnya terikat untuk berkhidmat di hospital swasta yang menaja, ramai daripada mereka mencari peluang di luar negara atau bekerja di kemudahan penjagaan kesihatan kerajaan selepas tamat perkhidmatan mereka.
"Penghijrahan bakat sedemikian, walaupun boleh difahami, menimbulkan cabaran untuk sistem penjagaan kesihatan kami yang memerlukan perhatian berterusan dan peruntukan sumber.
“Perlu diingat bahawa angka RM40 juta hingga RM60 juta mungkin merupakan anggaran konservatif, kerana ia diperoleh daripada tinjauan yang dijalankan APHM hanya melibatkan beberapa daripada 157 hospital swasta di Malaysia.
"Tahap sebenar pelaburan kami dalam sektor penting ini mungkin lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Kuljit berkata impak ekonomi daripada pelaburan ini melangkaui perkhidmatan penjagaan kesihatan segera, termasuk mewujudkan peluang pekerjaan dan menyumbang kepada pertumbuhan keseluruhan ekonomi negara.
"Malangnya, impak positif ini sering diabaikan dalam perbincangan yang cenderung menumpukan pada salah tanggapan mengenai kos yang berkaitan dengan perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta.
"Untuk memupuk pemahaman yang lebih menyeluruh tentang sumbangan kami, kami menggalakkan semua pihak berkepentingan dalam sektor penjagaan kesihatan, termasuk kerajaan dan agensi berkaitan, mengiktiraf dan menyokong usaha kami."
Buku Fakta APHM yang akan diterbitkan tidak lama lagi, kata beliau, akan menyediakan maklumat lanjut mengenai sumbangan hospital swasta dan peranan penting yang mereka mainkan dalam landskap penjagaan kesihatan Malaysia.
Dr Kuljit juga menggesa kerajaan meningkatkan insentif tambahan untuk rakyat Malaysia meneruskan kerjaya dalam bidang berkaitan kesihatan, khususnya dalam kejururawatan.
“Dengan berbuat demikian, kami boleh menggalakkan komitmen yang lebih tinggi daripada belia kami untuk berkhidmat kepada komuniti mereka dan mengurangkan potensi aliran keluar bakat tempatan ke luar negara,” kata beliau. - DagangNews.com