KUALA LUMPUR 26 Nov - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kini merancang perolehan radar baharu untuk diletakkan di kawasan strategik seperti perairan Sarawak dan pantai timur Semenanjung.
Ketua Pengarah APMM, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, penempatan radar ini akan memperluaskan liputan pengawasan maritim selain meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan.
“Radar-radar baharu ini akan disepadukan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) di bawah sistem Malaysia Coast Guard Maritime Domain Awareness (MCGMDA) di mana ia mampu menganalisis data dengan lebih komprehensif dan responsif.
“Gabungan teknologi ini diyakini dapat memperkukuh keselamatan serta memastikan keberkesanan penguatkuasaan di perairan Malaysia,” ujar beliau dalam satu kenyataan.
Mohd Rosli turut berharap, usaha yang dilaksanakan APMM mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam memastikan pelaksanaan penggunaan teknologi ini dapat diaplikasikan dengan berkesan.
"Penerapan teknologi AI bukan sahaja relevan tetapi juga menjadi keperluan strategik untuk menghadapi cabaran keselamatan maritim pada masa hadapan.
“Penggunaan teknologi ini juga membolehkan APMM mengoptimumkan sumber manusia dan aset sedia ada, selain memastikan kawalan yang lebih efisien di perairan negara, terutama dalam menangani ancaman seperti penyeludupan, pencerobohan nelayan asing, dan jenayah maritim,” katanya lagi.
Beliau memberitahu demikian sebagai menyambut baik hasrat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail supaya agensi di bawah kementeriannya memahami dan menggunakan AI dalam pengoperasian masing-masing.
Sebagai langkah strategik dalam memperkukuh pengawasan keselamatan perairan negara, tegas Mohd Rosli, agensi itu sentiasa proaktif dalam meneroka penggunaan teknologi moden
Dalam konteks ini, penggunaan AI tidak terkecuali yang disifatkan sebagai teknologi yang semakin berkembang.
Menurut Mohd Rosli, teknologi AI bukan sahaja membantu mengurangkan kebergantungan kepada rondaan fizikal, tetapi juga meningkatkan keberkesanan operasi di kawasan yang sukar dicapai.
“Penggunaan dron atau bot autonomi yang dikawal melalui teknologi AI misalnya, dilihat mampu menjalankan rondaan automatik di kawasan yang luas.
“Ia juga mampu mengesan aktiviti mencurigakan, dan menganalisis data masa nyata untuk tindakan pantas,” ujarnya.
Penggunaan dron atau bot autonomi bukan lagi teknologi eksklusif kerana ia telah menjadi pelengkap bagi kebanyakan tentera laut negara maju termasuklah pasukan penguatkuasaan maritim.
Bot autonomi direka untuk melaksanakan tugasan seperti rondaan dan tinjauan termasuk berkeupayaan belajar di laut bergelora menerusi kawalan jauh.
Sekiranya APMM dibekalkan dengan kelengkapan ini ia bakal melonjakkan lagi peranan agensi itu disamping penggunaan bot-bot peronda sedia ada.
Bot autonomi juga boleh dibangunkan dengan kerjasama syarikat tempatan kerana terdapat beberapa buah syarikat yang telah pun membangunkan teknologi AI sedemikian.
Singapura misalnya telah pun menggunakan bot autonomi bagi pengawasan maritim termasuk operasi antikeganasan.
Sebelum ini dalam kenyataan di Dewan Rakyat bulan lepas, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah memberitahu, KDN telah pun mengguna pakai teknologi terkini termasuk AI dalam memastikan kawalan sempadan negara terus diperkasakan terutama di Sabah.
Katanya, antara penggunaan AI yang dilaksanakan adalah menerusi analisis data bagi mengesan pola serta potensi ancaman di negeri berkenaan.
AI juga dilaksanakan bagi pengesanan ancaman awal melalui sistem algoritma yang diguna pakai APMM menerusi Sistem Pengawasan Laut (Swasla) bagi mengesan aktiviti mencurigakan. - DagangNews.com