KUALA LUMPUR 31 Dis - Aset rizab rasmi Malaysia kini berjumlah AS$118.35 bilion, manakala aset mata wang asing lain berjumlah AS$255.72 juta pada akhir November 2024, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Bank pusat itu berkata, pada 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah ditetapkan terlebih dahulu bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing, termasuk, antara lain, pembayaran balik berjadual bagi pinjaman luar oleh kerajaan dan kematangan mata wang asing, berjumlah AS$14.03 bilion.
"Kedudukan hadapan pendek bersih berjumlah AS$27.75 bilion pada akhir November 2024, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang," katanya dalam satu kenyataan mengenai pendedahan terperinci rizab antarabangsa pada akhir November 2024, hari ini.
Selaras dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, BNM berkata, data itu tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing yang timbul daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek.
BNM mengunjurkan aliran masuk mata wang asing berjumlah AS$2.54 bilion dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Satu-satunya pengeluaran bersih jangka pendek luar jangka bagi aset mata wang asing ialah jaminan kerajaan bagi hutang mata wang asing yang perlu dibayar dalam tempoh satu tahun, berjumlah AS$399.8 juta.
"Tiada pinjaman mata wang asing dengan pilihan terbenam, tiada saluran kredit tanpa syarat yang belum dikeluarkan yang disediakan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, bank dan institusi kewangan lain.
"BNM juga tidak terlibat dalam pilihan mata wang asing berbanding ringgit," kata bank pusat itu.
Selaras dengan format Standard Penyebaran Data Khas (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), pecahan terperinci rizab antarabangsa menyediakan maklumat tentang saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab, aset mata wang asing lain serta jangkaan potensi masa depan serta aliran masuk dan keluar pertukaran asing kerajaan persekutuan dan BNM dalam tempoh 12 bulan akan datang.
"Secara keseluruhannya, pecahan terperinci rizab antarabangsa di bawah format SDDS IMF menunjukkan pada akhir November 2024, rizab antarabangsa Malaysia kekal boleh digunakan," katanya. - DagangNews.com