ATPC perluas operasi ke Indonesia, jalin kerjasama dengan tiga hospital bagi tangani penyakit pernafasan | DagangNews Skip to main content

ATPC perluas operasi ke Indonesia, jalin kerjasama dengan tiga hospital bagi tangani penyakit pernafasan

Oleh Shamsiah Zulkafli


KUALA LUMPUR 2 Dis - AGAPE ATP Corporation (ATPC) yang tersenarai di NASDAQ, mengumumkan pemeteraian tiga Memorandum Persefahaman (MoU) dengan institusi penjagaan kesihatan terkemuka di Indonesia.

 

Ia bertujuan memajukan penyelidikan perubatan, memperkenalkan strategi rawatan yang inovatif dan mengukuhkan program latihan untuk menangani penyakit pernafasan seperti tuberkulosis (TB) dan penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD). 

 

Kerjasama itu menandakan peristiwa penting dalam rancangan pengembangan strategik ATPC di Indonesia dan Asia Tenggara.

 

MoU tersebut ditandatangani dengan Hospital Besar Dr. Sardjito di Yogyakarta, Hospital Paru-paru Dr. H. A. Rotinsulu di Bandung dan Hospital Pernafasan Dr. M. Goenawan Partowidigdo di Bogor. 

 

Ia memberi tumpuan untuk meningkatkan keupayaan penyelidikan, memupuk inovasi perubatan dan menjalankan kajian klinikal ke atas produk kesihatan sedia ada ATPC. 

 

Kajian akan memastikan produk mematuhi piawaian kesihatan Indonesia untuk penggunaan yang selamat, memenuhi keperluan kawal selia sebelum pengedaran produk ATPC ke pasaran.

 

Melalui perkongsian berkenaan, ATPC mengesahkan komitmennya untuk mengekalkan piawaian keselamatan dan keberkesanan tertinggi untuk produk kesihatan, seterusnya mengukuhkan kedudukannya sebagai perintis yang dipercayai dalam industri penjagaan kesihatan. 

 

Kerjasama itu dibina berdasarkan visi bersama untuk menangani cabaran kesihatan global yang kritikal.

 

Kesemua pihak berhasrat untuk memupuk kerjasama antara disiplin, pertukaran pengetahuan, dan amalan kesihatan yang mampan. 

 

Inisiatif utama termasuk penyelidikan perubatan lanjutan, latihan profesional penjagaan kesihatan dan pengenalan pendekatan inovatif untuk memerangi penyakit pernafasan.

 

Perkongsian itu juga bertujuan untuk berhubung dengan universiti antarabangsa dan hospital pakar bagi meningkatkan lagi standard penjagaan kesihatan.

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Global ATPC, Prof Dato’ Sri Dr How Kok Choong berkata, penyakit TB dan COPD kekal sebagai kebimbangan kesihatan awam utama di Indonesia dan Malaysia. 

 

Katanya, Indonesia adalah antara negara yang merekod jumlah TB tertinggi di dunia dengan ratusan ribu kes baharu dilaporkan setiap tahun, sementara COPD, yang sering dikaitkan dengan tabiat merokok dan pencemaran udara yang tinggi, menyumbang dengan ketara kepada kematian di kedua-dua negara. 

 

"Penyakit-penyakit ini memberi tekanan yang besar kepada sistem penjagaan kesihatan, menonjolkan keperluan mendesak untuk usaha bersama bagi meningkatkan strategi pencegahan, diagnosis dan rawatan.

 

"Dengan menjalankan kajian klinikal yang teliti dan selaras dengan piawaian Kementerian Kesihatan Indonesia, kami menyasarkan untuk memastikan produk dan perkhidmatan seperti DSY Wellness, ATP2 dan LEGA memenuhi keperluan pesakit yang memerangi penyakit pernafasan dengan berkesan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Tambahnya, perkongsian itu menandakan satu langkah penting ke arah mewujudkan masa depan yang lebih sihat dan mampan kepada ekosistem penjagaan kesihatan Asia Tenggara.

 

Kok Choong berkata, ia juga menekankan penyepaduan inovasi perubatan yang mampan, bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan jangka panjang dan sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG). 

 

"Melalui kerjasama ini, ATPC memperkukuh peranannya sebagai peneraju global dalam kesihatan dan penjagaan kesihatan, memajukan penyelidikan saintifik dan hasil kesihatan yang mampan," ujarnya.

 

Majlis menandatangani MoU itu dihadiri oleh Pengarah Tadbir Urus Perkhidmatan Kesihatan Kementerian Kesihatan Indonesia, Dr Suranto M.Kes dan Ketua Badan Pengawas Makanan dan Dadah (BPOM), Prof Dr Taruna Ikrar. 

 

Turut hadir ialah wakil daripada ATPC, termasuk Kok Choong, Timbalan Pengerusi, Dr John Vong, dan Pengarah Eksekutif, Dr. Fernando Cortizo. - DagangNews.com