KUALA LUMPUR 4 Nov - Malacca Securities memberikan nilai wajar kepada Supreme Consolidated Resources Berhad kepada 40 sen sesaham.
Penilaian tanpa penarafan tersebut adalah lebih sebanyak 60% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) 25 sen sesaham dengan kumpulan itu bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 29 November 2024.
"Oleh itu, kami mengaitkan sasaran P/E sebanyak 14 kali ganda kepada EPS sebanyak 2.75 sen bagi tahun kewangan 2025 (FY25).
"Pada masa ini, 97.9% daripada pendapatan FY23 datang dari Sarawak, dengan rancangan untuk berkembang ke Sabah melalui pengambilalihan atau pertumbuhan organik di Kota Kinabalu.
"Kumpulan itu dijangka memanfaatkan kelebihan geografinya di Malaysia Timur bagi meningkatkan saluran pengedaran dan asas hasil di Sabah, akhirnya memacu hasil keseluruhan yang lebih tinggi untuk organisasi itu," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan menawarkan rangkaian produk yang luas, memenuhi keutamaan asas pelanggan yang luas, menampilkan 79 jenama pihak ketiga asing dan tempatan bersama tiga jenama proprietari.
Katanya, bagi meningkatkan lagi penawaran produknya, kumpulan itu merancang mendapatkan hak agensi baharu untuk kedua-dua produk tempatan dan antarabangsa yang melengkapkan rangkaian sedia ada.
"Peluasan ini termasuk mendapatkan produk alternatif, seperti mentega campuran, yang harganya kompetitif untuk menyediakan pelanggan dengan pilihan tambahan," katanya.
Malacca Securities mengunjurkan CAGR tiga tahun kumpulan sebanyak 7.8% dengan untung bersih teras dijangka mencecah RM11.4 juta, RM11.8 juta dan RM12.2 juta dalam tempoh tiga tahun akan dating.
Katanya, sebahagian besarnya disokong oleh peluasan saluran pengedaran ke Sabah, kemudahan pergudangan baharu bagi memenuhi pasaran yang lebih besar dan prospek industri yang positif di Sarawak.
Hasil yang diperoleh daripada IPO akan membolehkan syarikat memenuhi fasa pengembangan perniagaannya seterusnya dengan kumpulan itu memperuntukkan 62.86% daripada hasil untuk membiayai pengembangan kemudahan gudang; 22.86% untuk modal kerja; dan hasil selebihnya akan digunakan untuk perbelanjaan berkaitan penyenaraian.
Peluasan kemudahan gudang syarikat akan berfungsi sebagai pusat pengedaran tambahan dan dijangka memenuhi keperluan pengembangan produk Supreme Consolidated.
Ia merangkumi kawasan pergudangan baharu, kemudahan penyimpanan sejuk (bilik penyejuk beku dan penyejuk), pejabat, pemunggahan dan ruang pemunggahan.
Kenanga Investment Bank Berhad merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan IPO. - DagangNews.com