KUALA LUMPUR 4 Okt - RHB Investment memberikan nilai wajar kepada pengeluar komponen kejuruteraan ketepatan, Northeast Group Bhd pada 62 sen sesaham.
Penilaian tanpa penarafan tersebut adalah lebih tinggi daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) 50 sen sesaham dengan kumpulan itu bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 15 Oktober 2024.
“Oleh itu, kami mengaitkan sasaran P/E sebanyak 21 kali ganda kepada EPS tahun kalendar 2025 (CY25), yang selaras dengan purata berat PER syarikat-syarikat setara dalam sektor itu.
"Secara dasanya kumpulan itu terlibat dengan pembuatan komponen kejuruteraan ketepatan yang digunakan merentasi industri fotonik, elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor, telekomunikasi dan optoelektronik," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu meramalkan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) tiga tahun sebanyak 15.1% didorong pemulihan sektor semikonduktor, yang dijangka meningkatkan kadar penggunaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Northeast Group lancar IPO Pasaran ACE, sasar kumpul dana hingga RM110.4 juta
Katanya, ia sejajar dengan unjuran SEMI bagi pemulihan FY24 dalam jualan bagi segmen bahagian hadapan (+5.4%), ujian (+7.4%) dan peralatan pemasangan dan pembungkusan (+10%), dengan peningkatan selanjutnya dijangka pada 2025 merentas semua subsegmen.
"Sebagai pembekal utama kepada pembuat peralatan terkemuka dan pemain perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS), kumpulan itu berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pemulihan permintaan semikonduktor.
"Selain itu, volum pesanan yang lebih tinggi daripada pelanggan sedia ada dan baharu dijangka meningkatkan margin melalui kelebihan operasi dan skala ekonomi.
"Pertumbuhan selanjutnya dijangka selepas 2027, dengan siapnya kemudahan baharu yang akan mengembangkan ruang lantai pengeluaran sebanyak 72.3%," katanya.
Sementara itu, Northeast Group juga telah memperuntukkan 23.67% daripada hasil IPO untuk membayar balik pinjaman bank, 14.65% untuk pembelian 36 mesin CNC baharu bagi meningkatkan anggaran kapasiti operasi tahunannya manakala 7.81% akan diperuntukkan untuk perbelanjaan penyenaraian dan baki 6.53% untuk modal kerja.
Hasil daripada penjualan saham sedia ada, sementara itu, akan disalurkan sepenuhnya kepada pemegang saham jualan termasuk Pengarah Urusan Ng Chay Chin dan abangnya Ng Chai Hee, yang juga merangkap Pengarah Operasi Kanan.
Pengarah Eksekutif, Chong Ewe Hean, Pengarah Perniagaan dan Jualan Kanan, Yin Thien Hee bersama dua pemegang saham lain iaitu Ng Meng Hang dan Tang Ah Lek juga akan menjual saham sedia ada mereka.
Affin Hwang Investment Bank ialah penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal dan penaja jamin tunggal IPO Northeast Group. - DagangNews.com