KUALA LUMPUR 28 Okt - Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) memperkenalkan satu lagi produk patuh syariah terkini di pasaran iaitu Akaun Emas-i Bank Islam (BIGA-i), yang membolehkan pelanggan mempelbagaikan aset kewangan mereka dengan menambah emas dalam portfolio atau memanfaatkannya sebagai penyelesaian simpanan yang fleksibel.
Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Bank Islam – Perbankan Runcit, Mizan Masram berkata, BIGA-i merupakan satu produk emas patuh syariah yang bertujuan menggalakkan penciptaan, pengumpulan dan pemindahan kekayaan dalam kalangan pelanggan.
"Akaun ini bersifat mesra pemula untuk mereka yang baharu atau kurang berpengalaman dalam pasaran logam berharga.
"Ia hanya memerlukan pembelian awal dan seterusnya yang bernilai minimum RM10 atau berdasarkan harga emas semasa transaksi, menjadikannya sesuai untuk mereka yang mempunyai pengalaman terhad dalam pasaran," katanya dalam satu kenyataan.
Pengenalan produk terbaharu itu juga memperlihatkan komitmen Bank Islam memperkenalkan satu lagi pilihan pelaburan tambahan yang menawarkan cara lebih mudah, selamat dan mampu milik untuk membeli dan melabur dalam emas.
Disokong oleh emas fizikal dengan ketulenan 99.9% yang diiktiraf oleh Persatuan Pasaran Jongkong London (LBMA), pelanggan boleh menikmati manfaat pelaburan emas tanpa perlu menyimpannya secara fizikal.
Urusan pembukaan akaun, pembelian dan penjualan emas, pemindahan akaun ke akaun dan penukaran emas untuk BIGA-i kini tersedia di semua 135 cawangan Bank Islam di seluruh negara. - DagangNews.com