Bank Islam, Solar Voltech tandatangani perjanjian pembiayaan solar bernilai RM105.2 juta | DagangNews Skip to main content

Bank Islam, Solar Voltech tandatangani perjanjian pembiayaan solar bernilai RM105.2 juta

Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Bank Islam (Perbankan Institusi) Sharifah Sarah Syed Mohamed Tahir (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Operasi Solar Voltech Sdn Bhd, Izwanaim Ismail (dua dari kiri) semasa majlis tandatangan perjanjian pembiayaan antara Bank Islam dan Solar Voltech Sdn Bhd semalam, disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Datuk Mohd Muazzam Mohamed (kanan) dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kanan Penang Development Corp, Datuk Mohammad Azhar Hamdan. Gambar/Bernama

KUALA LUMPUR 15 Jan - Bank Islam Malaysia Bhd menandatangani perjanjian pembiayaan bernilai RM105.2 juta dengan anak syarikat PDC Premier Holdings Sdn Bhd, Solar Voltech Sdn Bhd (Solar Voltech) untuk projek penjanaan solar.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Datuk Mohd Muazzam Mohamed berkata, pembiayaan itu selaras dengan Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR), yang mencerminkan usaha bersama Bank Islam untuk menjadi pemangkin kepada matlamat Malaysia mencapai sifar karbon menjelang 2050.

 

"Kerjasama antara Bank Islam dan Solar Voltech untuk memperkasakan teknologi hijau bermula pada 2024, dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM105.2 juta.

 

"Bank Islam komited untuk terus berusaha memacu kelestarian hijau melalui rumusan pembiayaan berdaya cipta," katanya semasa berucap pada majlis menandatangani perjanjian tersebut semalam, seperti laporan Bernama.

 

Pada majlis berkenaan, Bank Islam diwakili oleh Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan (Perbankan Institusi), Sharifah Sarah Syed Mohamed Tahir, manakala Solar Voltech diwakili oleh Ketua Pegawai Operasinya, Izwanaim Ismail.

 

Mohd Muazzam berkata, sebagai peneraju dalam pembiayaan lestari yang mematuhi syariah, Bank Islam berhasrat mempercepat pertumbuhan ekonomi hijau Malaysia sambil memberi kesan jangka masa panjang kepada perniagaan, masyarakat dan alam sekitar.

 

"Dengan sokongan pembiayaan sebanyak RM105.2 juta, ia menyumbang kepada portfolio pembiayaan hijau dan lestari Bank Islam yang telah mencapai RM5 bilion pada tahun 2024.

 

"Ini membawa jumlah pembiayaan yang diluluskan untuk sektor tenaga boleh diperbaharui kepada 58.1% daripada keseluruhan pembiayaan hijau pada tahun 2024," katanya.

 

Beliau menambah, selaras dengan kejayaan itu, Bank Islam menetapkan sasaran yang lebih tinggi untuk meningkatkan portfolio pembiayaan lestari kepada RM28 bilion menjelang akhir 2025.

 

Sementara itu, Izwanaim berkata, pelaburan dalam projek solar tersebut akan menghasilkan tenaga bersih untuk keperluan ratusan rumah, bangunan komersial dan industri.

 

Jelasnya, projek berkenaan bukan sahaja akan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil, tetapi juga mengurangkan pelepasan karbon secara signifikan.

 

"Manfaat jangka panjang termasuk penjimatan kos tenaga, peningkatan kualiti udara dan penciptaan peluang pekerjaan dalam sektor teknologi hijau.

 

"Lebih penting lagi, ia membantu Malaysia mencapai sasaran neutral karbon menjelang 2050, selaras dengan komitmen perubahan iklim global," katanya.

 

Projek solar yang akan dilaksanakan oleh Solar Voltech itu merangkumi pelbagai teknologi bersih, termasuk fotovoltaik solar (PV), PV bersepadu bangunan, pengecas kenderaan elektrik dan audit tenaga. - DagangNews.com