Bayaran akhir STR mulai 7 November, SARA mulai 9 Disember 2024 - Kementerian Kewangan | DagangNews Skip to main content

Bayaran akhir STR mulai 7 November, SARA mulai 9 Disember 2024 - Kementerian Kewangan

Untuk sebarang pertanyaan mengenai STR, sila hubungi talian bantuan STR/SARA MOF di 03-8882 4565/4566 - Gambar hiasan
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 6 Nov - Kerajaan MADANI akan menyalurkan bayaran akhir Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2024 secara berperingkat mulai 7 November 2024 (Khamis) kepada 8.7 juta penerima mengikut kategori kelayakan masing-masing, seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2025.

 

Pada masa yang sama, Kerajaan MADANI akan menyalurkan bantuan tunai tambahan one-off Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada 8 juta penerima STR yang bukan daripada kumpulan miskin dan miskin tegar mengikut kaedah pembayaran STR mulai 9 Disember 2024 (Isnin).

 

Manakala baki 700,000 penerima STR daripada kumpulan miskin dan miskin tegar akan terus menerima manfaat bantuan SARA sepanjang tahun.

 

Dengan penambahan bantuan tunai ini, isi rumah berkelayakan akan menerima sehingga RM1,000 untuk pembayaran akhir STR bagi tahun ini dan ini selaras dengan keprihatinan Kerajaan MADANI yang mengutamakan kesejahteraan rakyat.

 

Pembayaran terakhir STR melibatkan peruntukan RM3.4 bilion dan Kerajaan telah menyalurkan hampir RM10 bilion kepada penerima STR dan SARA sepanjang tahun 2024 berbanding RM8 bilion pada tahun 2023.

 

Dato’ Seri Anwar juga melalui pembentangan Belanjawan 2025 telah mengumumkan bahawa Kerajaan akan menambah baik STR dan SARA 2025 dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM13 bilion.

 

“Peningkatan peruntukan sebanyak 30% adalah yang tertinggi pernah diberikan Kerajaan untuk menangani kos sara hidup rakyat. Ia akan memanfaatkan hampir 60% penduduk berpendapatan rendah dan sederhana rendah. Kenaikan peruntukan ini merupakan hasil penstrukturan semula kewangan Kerajaan yang mengambil pendekatan untuk mengagihkan semula kekayaan negara kepada rakyat terbanyak,” kata YAB Dato’ Seri Anwar.

 

STR

 

STR

 

 

Kerajaan juga mengambil pendekatan untuk membuka pendaftaran STR 2025 sepanjang tahun bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada bantuan Kerajaan.

 

Ini bagi memastikan mereka yang layak, namun tiada dalam pangkalan data Kerajaan tampil mengemukakan permohonan masing-masing selain membenarkan penerima sedia ada membuat pengemaskinian sekiranya mempunyai perubahan maklumat.

 

Bagi mengurangkan golongan yang tercicir atau exclusion error, data penerima STR sedia ada akan dibawa secara automatik ke dalam pangkalan data Kerajaan selain data daripada beberapa agensi Kerajaan lain5 untuk disemak kelayakan STR 2025 mengikut syarat yang ditetapkan.


 

STR


 

Pemohon STR boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) di Portal Rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut.

 

Semakan status pembayaran dan kelulusan STR boleh dibuat melalui pautan yang sama. Kementerian Kewangan (MOF) ingin menasihati penerima STR agar sentiasa berwaspada dengan pautan yang tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan maklumat berkaitan program STR.

 

Sebagai perlindungan daripada kes penipuan (scam), pihak MOF tidak membuat penghantaran SMS dan mesej WhatsApp meminta maklumat peribadi kepada individu. - DagangNews.com