KUALA LUMPUR 14 Jan - Pembayaran Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bermula esok menyaksikan penambahbaikan bantuan bersasar merangkumi sebahagian peningkatan peruntukan Belanjawan 2025 bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA dalam angka tertinggi iaitu RM13 bilion berbanding RM10 bilion pada tahun lepas.
Dalam kenyataannya hari ini, Kementerian Kewangan (MOF) berkata kadar bantuan SARA itu ditingkatkan dengan isi rumah miskin dan miskin tegar dalam rekod eKasih bakal menerima sejumlah RM2,100 bagi tahun 2025 berbanding RM1,200 pada 2024.
Bantuan SARA sebanyak RM100 sebulan akan dikreditkan ke dalam MyKad penerima bagi bulan Januari hingga Mac 2025.
"Bermula April 2025, kadar bantuan ini akan ditingkatkan kepada RM200 sebulan,” kata kementerian itu.
Selain itu, MOF berkata sebanyak 5.4 juta penerima STR akan turut menerima bantuan tambahan SARA mulai April 2025.
Bilangan itu merangkumi masing-masing 700,000 penerima SARA dan 4.7 juta penerima STR sedia ada yang tiada dalam rekod eKasih.
Bagi kategori isi rumah, kata MOF, tambahan sumbangan SARA adalah sebanyak RM100 sebulan.
“Untuk golongan warga emas pula, mereka yang tiada pasangan akan menerima sumbangan tambahan SARA sebanyak RM50 sebulan,” kata kementerian itu. - DagangNews.com