Belanjawan 2025: Kastam harap dapat peruntukan bagi kelengkapan mesin pengimbas, bot marin dan pendigitalan | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2025: Kastam harap dapat peruntukan bagi kelengkapan mesin pengimbas, bot marin dan pendigitalan

Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin
Oleh BERNAMA

KUALA LUMPUR 16 Okt - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berharap Belanjawan 2025 menyentuh peruntukan bagi aset seperti mesin pengimbas, bot marin dan kamera badan (BWC) bagi memantapkan peranan dan bidang kuasa agensi itu, kata Ketua Pengarahnya Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin.

 

Bercakap kepada media di sini hari ini, beliau berkata JKDM juga berharap peruntukan itu meliputi aset digital yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) memandangkan sebahagian besar pegawai kastam akan bertugas di Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) kelak.

 

“Satu pertiga daripada kekuatan kita akan ke sama (MCBA) jadi kita memerlukan lebih banyak aset AI untuk mengimbangi modal insan. Menuju ke depan, ini lebih kepada penggunaan digital,” katanya.

 

 

Belanjawan 2025 akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada Jumaat ini.

 

Mengulas mengenai MCBA, beliau berkata pihaknya kini sedang menunggu ‘lampu hijau’ berhubung penugasan anggota JKDM di agensi itu.

 

“Kini difahamkan dalam proses pewartaan (MCBA), kita akur dan akan bekerjasama penuh kepada entiti tersebut,” katanya.

 

Bagi fasa pertama, beliau berkata seramai 5,117 anggota JKDM akan bertugas di MCBA. MCBA (sebelum ini dikenali sebagai agensi tunggal sempadan negara atau SBA) merupakan agensi barisan hadapan di pintu masuk negara termasuk pelabuhan yang bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan kawalan sempadan serta pemeriksaan secara bersepadu dan komprehensif.

 

Pelaksanaan MCBA merupakan agenda nasional dalam memperkasakan tiga aspek utama iaitu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan di pintu masuk negara dan mengurangkan ketirisan hasil.

 

Ia juga bagi meningkatkan aspek integriti dalam kalangan penguat kuasa bagi mengawal dan melaksanakan pemeriksaan antara lain terhadap orang, barang, kenderaan, binatang dan tumbuhan.

 

Pada pembentangan Belanjawan 2024 lepas, Anwar mengumumkan penubuhan SBA sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara.

 

Rang Undang-Undang Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 yang bertujuan menubuhkan MCBA diluluskan di Dewan Rakyat pada 16 Julai dan di Dewan Negara pada 1 Ogos. - DagangNews.com