Belanjawan 2025 selaras dengan trend hartanah global - Knight Frank | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2025 selaras dengan trend hartanah global - Knight Frank

Oleh BERNAMA

KUALA LUMPUR 21 Okt - Belanjawan 2025 menekankan infrastruktur yang berfokus kepada rakyat dan kelestarian, selaras dengan trend hartanah global seperti amalan bangunan hijau dan pembangunan berorientasikan pengangkutan, kata Knight Frank Malaysia.

 

Dalam satu kenyataan, ia menyatakan pengukuhan ringgit akan memperkukuhkan keyakinan pelabur asing untuk melabur dalam pasaran hartanah Malaysia, menjadikannya destinasi yang lebih menarik.

 

"Pelaburan ini akan bertindak sebagai pemangkin bagi pertumbuhan pasaran hartanah, meningkatkan permintaan bagi kedua-dua sektor kediaman dan komersial serta meningkatkan nilai hartanah jangka panjang," katanya.

 

Menurut Knight Frank, projek-projek utama seperti pengembangan Lebuhraya Utara-Selatan, Sistem Transit Pantas Johor-Singapura (RTS), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, dan Pelabuhan Klang dijangka meningkatkan keterhubungan, manakala pelebaran jalan di Lingkaran Pulau Indah dan Pelabuhan Utara Klang akan mendorong pertumbuhan hartanah di kawasan-kawasan utama.

 

Ia menambah bahawa ini akan merangsang permintaan untuk pembangunan kediaman dan komersial, serta memperkukuhkan nilai hartanah jangka panjang.

 

Selain itu, syarikat perunding hartanah tersebut menyatakan, pengenalan insentif cukai untuk pengaturan kerja fleksibel dijangka mengubah permintaan dalam sektor hartanah komersial.

 

"Tumpuan kerajaan kepada sektor bernilai tinggi seperti elektrik dan elektronik (E&E) serta kecerdasan buatan (AI), yang disokong oleh insentif cukai pelaburan, berkemungkinan mencipta peluang untuk sektor hartanah industri, terutama dalam pembangunan logistik pintar dan taman industri berteknologi tinggi.

 

"Kami menjangkakan minat yang meningkat dalam hab logistik dan kemudahan pembuatan seiring dengan pertumbuhan sektor digital dan teknologi tinggi di Malaysia," tambahnya.

 

Sementara itu, Knight Frank menyatakan, peruntukan belanjawan yang besar untuk Sabah dan Sarawak bertujuan untuk mengurangkan jurang pembangunan, dengan pengembangan lapangan terbang di Tawau dan Miri yang meningkatkan aktiviti pelancongan dan komersial, serta meningkatkan permintaan bagi hartanah perhotelan dan runcit.

 

"Selain itu, Pusat Kanser Sarawak menonjolkan pelaburan dalam infrastruktur penjagaan kesihatan, membuka peluang dalam hartanah yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan," tambahnya. - DagangNews.com