Belanjawan negeri Perak 2025 diharap mesra rakyat, bawa khabar gembira | DagangNews Skip to main content

Belanjawan negeri Perak 2025 diharap mesra rakyat, bawa khabar gembira

Belanjawan negeri Perak 2025 akan dibentangkan pada Sidang Dewan Undangan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 28 Nov - Belanjawan Perak 2025 yang akan dibentang pada Jumaat ini diharap lebih mesra rakyat dan dapat memenuhi kehendak kerajaan negeri serta dilaksanakan pada saluran tepat.

 

Pembentangan belanjawan akan dibawa Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri.

 

Ahli Dewan Belia Negeri Perak, Syed Alif Rikiman Syed Alwi berkata, dengan jangkaan cabaran ekonomi lebih besar tahun hadapan maka rakyat berharap ada berita baik.

 

Mewakili golongan muda, Syed Alif Rikiman akui isu peluang pekerjaan dan meningkatkan sumber pendapatan merupakan perhatian pada golongan tersebut.

 

Perak
Syed Alif Rikiman Syed Alwi

 

Katanya, peranan kerajaan negeri perlu untuk memperluaskan lagi skop industri bagi membuka peluang pekerjaan kepada anak muda terutama graduan dan lepasan sekolah.

 

Ini dapat mengatasi masalah pengangguran khususnya di kawasan luar bandar.

 

“Dari sudut perniagaan pula bantu usahawan muda atau lahirkan generasi baharu dengan cara menyediakan sokongan modal permulaan.

 

“Bagi sektor pertanian pula, memperluaskan lagi peluang dan ruang kawasan atau tanah khas untuk anak muda berkecimpung dalam tanaman kontan.

 

“Ketika ini hanya entiti tertentu membangunkan tanah pertanian menyebabkan anak-anak muda yang ingin berkecimpung tidak diberi peluang, masalah mereka ialah tanah dan modal,” ujarnya.

 

Perak
Penyertaan golongan belia dalam pertanian dapat menyokong sektor bekalan makanan negeri Perak - gambar hiasan.

 

Perak
Proses mendapatkan modal pemula penting untuk menyokong usahawan kecil - gambar hiasan.

 

 

Walaupun mengakui beberapa inisiatif telah disediakan namun Syed Alif Rikiman berpendapat kaedah sedia ada masih boleh ditambah baik.

 

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemandu-pemandu Kereta Sewa Negeri Perak, B. Jayaprakash berharap bantuan kewangan sebanyak RM750 boleh diberikan kepada pemandu kereta sewa dan bas sekolah bagi mengimbangi kos.

 

Begitu juga bantuan bagi meringankan keluarga daripada golongan B40 dan M40.

 

“Juga permohonan khas sebanyak RM5,000 kepada pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan penduduk untuk menganjurkan program bermanfaat.

 

Perak
Jayaprakash (tiga dari kiri) berharap kebajikan pemandu kereta sewa diberi perhatian kerajaan negeri Perak pada Belanjawan 2025.

 

Perak
Bantuan yang disediakan kerajaan negeri kepada keluarga berpendapatan kecil dan susah sangat membantu golongan tersebut - gambar hiasan.

 

 

“Saya juga berharap dalam belanjawan ini nanti ada sesuatu kepada golongan warga emas di Perak,” ujar beliau.

 

Aktivis masyarakat, Sharul Baha Abd Rahman pula meminta peruntukan dapat disalur terhadap keperluan menyelenggara jalan-jalan utama khususnya di Ipoh.

 

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh Perak berkata, isu jalan merupakan masalah yang kerap disuarakan, malah sebahagian daripada kesejahteraan rakyat.

 

Perak
Isu penyelenggaraan jalan diharap dapat diberi perhatian dalam Belanjawan negeri Perak 2025.

 

“Belanjawan negeri juga wajar memberi fokus pada pendidikan iaitu kemudahan yang wajar disediakan kepada sekolah kerana masih banyak sekolah yang tidak cukup kelengkapan.

 

“Antaranya menggantikan perabot seperti kerusi meja yang uzur termasuklah kemudahan bilik guru,” ujarnya. - DagangNews.com