KUALA LUMPUR 8 Jan - Syarikat rumusan rel bersepadu, Berjaya Rail Sdn Bhd (Berjaya Rail), menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan anak syarikat ST Engineering, SEEL Electronic & Engineering Sdn Bhd, untuk merancang, membina dan menyiapkan sistem rel di Malaysia.
Berjaya Rail merupakan anak syarikat Berjaya Land Berhad (Berjaya Land), sebuah syarikat yang tersenarai di papan utama Bursa Malaysia Securities dengan perniagaan tempatan dan antarabangsa, yang memperluas perniagaan utamanya merangkumi pengangkutan rel.
Ia memberi tumpuan kepada rumusan rel bersepadu dan memanfaatkan kerjasama bagi mewujudkan ekosistem rel yang mampan.
Di bawah MoU itu, kedua-dua syarikat akan menggabungkan keupayaan teknikal dan rumusan berdaya saing untuk meneroka peluang dalam sektor rel Malaysia.
Kerjasama tersebut akan memberi tumpuan kepada penerapan sistem elektronik bersepadu terkini yang dapat mempermudah operasi, meningkatkan keselamatan dan memastikan hubungan yang lancar di seluruh rangkaian rel.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Land dan Ahli Lembaga Pengarah Berjaya Rail, Syed Ali Shahul Hameed berkata, kerjasama strategik dengan ST Engineering akan memanfaatkan kepakaran gabungan bagi menghasilkan sistem rel bertaraf dunia yang mengoptimumkan kecekapan operasi dan mempertingkatkan pengalaman penumpang.
"Dengan menyepadukan rumusan berdaya cipta dan mampan, kami komited untuk memacu nilai ekonomi dan menjimatkan kos dalam industri rel," katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Pengangkutan Rel dan Jalan, Rumusan Bandar ST Engineering, Bernard Chow berkata, MoU berkenaan memperlihatkan kerjasama untuk memajukan sektor rel Malaysia dengan teknologi terbaik yang dapat meningkatkan jaringan hubungan dan pengalaman penumpang serta kecekapan operasi bagi pengendali.
"Kami berharap dapat bekerjasama lanjut dengan Berjaya Rail untuk projek rel akan datang di negara ini," ujarnya.
MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Rail, Farizul Baharom dan Chow. - DagangNews.com