SINGAPURA 22 Nov - Boustead Singapore mengumumkan, perniagaan kejuruteraan dan pembinaannya (E&C) di bawah sayap penyelesaian hartanah Boustead Projects, memperoleh kontrak E&C di Malaysia bernilai RM300 juta.
Kontrak tersebut, yang diperoleh melalui anak syarikat Boustead Projects, BPX, melibatkan pembinaan pusat data empat tingkat, sebuah sub-stesen dua tingkat dan rumah pam dengan sistem penyejukan.
Projek terbabit dijadualkan siap menjelang akhir tahun kewangan 2026.
Menurut kumpulan itu, ia adalah projek pusat data pertama Boustead Projects di Malaysia.
Boustead Projects telah menyelesaikan beberapa projek di negara ini, termasuk kemudahan untuk beberapa syarikat Fortune 500 dalam sektor logistik, farmaseutikal dan semikonduktor.
Pengarah Urusan Perniagaan E&C Kumpulan, Thomas Chu berkata, sebagai satu daripada kontrak E&C terbesar yang diperoleh di Malaysia setakat ini, projek tersebut adalah kemenangan yang menggembirakan bagi syarikat, memandangkan persekitaran makroekonomi yang lembap kini menyebabkan kemerosotan ketara dalam pembangunan industri di Singapura.
"Kami tetap berhati-hati dan memilih dalam projek berisiko tinggi di pasaran yang tidak stabil.
"Walaupun Singapura masih menjadi pasaran utama kami, kami akan terus mengembangkan kehadiran kami di pasaran luar negara yang utama dengan mengejar dan mendapatkan kontrak bernilai tinggi, berdasarkan rekod kami sebagai penyedia penyelesaian hartanah dalam ruang industri," katanya dalam satu kenyataan.
Kumpulan itu menambah, kontrak tersebut telah membawa baki tertunggak sayap penyelesaian hartanah Boustead kepada RM629.19 juta dan baki tertunggak kejuruteraan Kumpulan Boustead kepada RM1.11 bilion.
Bagaimanapun, kontrak terbabit dijangka tidak memberi kesan material kepada keuntungan Kumpulan Boustead serta pendapatan per saham dan aset ketara per saham secara kolektif dalam tahun kewangan yang berakhir 31 Mac 2025 dan 31 Mac 2026.
Saham Kumpulan Boustead ditutup 1 sen lebih rendah, atau turun 0.97%, pada RM4.55 pada Khamis. - DagangNews.com