KUALA LUMPUR 2 Dis - Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) berpendapat langkah kerajaan mewajibkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada pekerja asing akan menimbulkan cabaran ekonomi yang tidak diingini bagi kedua-dua perniagaan dan tenaga kerja asing.
MICCI berkata, walaupun ia sejajar dengan usaha untuk memenuhi Piawaian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), dasar itu secara tidak langsung boleh mewujudkan tekanan kewangan dan kos operasi besar dalam industri pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan yang bergantung kepada buruh asing untuk memacu produktiviti.
"Bagi perniagaan yang sangat bergantung kepada buruh asing, dasar ini diterjemahkan kepada peningkatan kos buruh, yang berpotensi menjejaskan margin keuntungan perniagaan dan mengurangkan daya saing Malaysia dalam pasaran global yang semakin didorong oleh kecekapan kos.
"Selain itu, kebanyakan pekerja asing di Malaysia menghantar sebahagian besar pendapatan mereka ke negara asal untuk menyara keluarga mereka.
"Potongan KWSP yang diwajibkan boleh mengurangkan gaji mereka untuk dibawa pulang serta berpotensi menjejaskan keupayaan mereka untuk menampung perbelanjaan sara hidup," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagi menangani isu ini, MICCI menggesa kerajaan untuk menyemak semula garis masa pelancaran dasar tersebut dan berdialog dengan pihak berkepentingan yang berkaitan sebelum menguatkuasakan dasar itu.
"Kami amat menyokong rundingan segera antara kerajaan, agensinya dan komuniti perniagaan untuk membangunkan rangka kerja yang lebih berdaya maju.
"Dengan melibatkan pihak yang berkaitan, dasar ini mampu untuk memenuhi piawaian antarabangsa tanpa mengenakan beban kewangan tambahan kepada perniagaan, yang boleh membantutkan pertumbuhan ekonomi negara," katanya.
Presiden MICCI, Christina Tee berkata, kerjasama dengan pihak berkepentingan industri adalah penting untuk memupuk hasil dasar yang seimbang dan mampan.- DagangNews.com