CBH Engineering lancar prospektus IPO Pasaran ACE, sasar kumpul RM526.7 juta bagi kembangkan perniagaan  | DagangNews Skip to main content

CBH Engineering lancar prospektus IPO Pasaran ACE, sasar kumpul RM526.7 juta bagi kembangkan perniagaan 

(Dari kiri)Ketua Pegawai Kewangan CBH, Tang Wai Hoong;Pengarah Projek dan Kejuruteraan CBH, Ling Yang Ming;Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif CBH, Lim Bee Hua;Pengarah Eksekutif CBH, Cheah Min Heng;Pengarah CBH, Cheah Boon Kiat;Pengarah Eksekutif CBH, Cheah Boon Huat;Pengarah Urusan CBH, Cheah Boon Hwa;Pengarah Bebas Bukan Eksekutif CBH, Chin Sin Peng;Pengarah Bebas Bukan Eksekutif CBH, Saw Bee Yee;Pengarah Bebas Bukan Eksekutif CBH, Tan Suat Hoon;Pengarah Urusan Mercury Securities, Chew Sing Guan
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Dis - Penyedia perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrik (M&E), CBH Engineering Holding Bhd, melancarkan prospektus sempena tawaran awam permulaan (IPO) dan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Dengan modal saham terbitan sebanyak 1.88 bilion saham dan harga IPO 28 sen sesaham, modal pasaran CBH bakal mencecah sebanyak RM526.7 juta selepas penyenaraian.

 

CBH berkata, daripada RM83.4 juta yang akan dikumpul melalui pelaksanaan IPO akan datang, majoritinya akan diperuntukkan untuk tujuan untuk mengembangkan perniagaan.

 

"Secara khusus, RM38.5 juta (46.2%) akan diperuntukkan untuk perolehan peralatan dan komponen untuk projek masa depan, manakala RM17 .3 juta (20.7%) akan diperuntukkan kepada jaminan bank untuk projek masa depan.

 

"Selain itu, RM18.5 juta (22.2%) akan digunakan untuk pembayaran kepada subkontraktor untuk projek masa depan, manakala RM3.5 juta (4.1%) akan diperuntukan untuk pengambilan jurutera dan kakitangan lain. 

 

"Baki RM5.7 juta (6.8%), akan digunakan untuk membayar perbelanjaan penyenaraian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Pengarah Urusan CBH, Cheah Boon Hwa berkata, penyenaraian akan datang ini membolehkan kumpulan mengukuhkan operasi, mengembangkan pasukan dan merebut peluang baharu dalam industri perkhidmatan kejuruteraan M&E yang semakin berkembang.

 

“Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, CBH menyasar untuk mengukuhkan keupayaan dalamannya dengan merekrut lebih ramai profesional mahir.

 

"Ini bukan sahaja akan meningkatkan kecekapan operasinya tetapi juga memastikan ia terus menyampaikan penyelesaian kejuruteraan yang inovatif dan berkualiti tinggi.

 

“Di samping itu, CBH akan memberi tumpuan untuk mengukuhkan sumber kewangannya untuk menyokong modal kerja yang diperlukan untuk projek kejuruteraan M&E yang lebih besar dan kompleks," katanya. 

 

Berikutan pelancaran prospektus, permohonan untuk terbitan awam dibuka mulai hari ini dan akan ditutup pada 2 Januari 2025. 

 

CBH akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities menjelang 16 Januari 2025.

 

Mercury Securities Sdn Bhd ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal untuk IPO. - DagangNews.com