Cendana Auto hantar 10 kenderaan FFR bagi MALBATT di Lubnan bulan ini | DagangNews Skip to main content

Cendana Auto hantar 10 kenderaan FFR bagi MALBATT di Lubnan bulan ini

Kenderaan Cendana 4x4 FFR bagi kegunaan MALBATT di Lubnan.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 18 Dis - Syarikat automotif pertahanan tempatan, Cendana Auto Sdn. Bhd. (Cendana Auto) akan melengkapkan penghantaran 10 kenderaan Cendana 4x4 Fitted For Radio (FFR) untuk pasukan pengaman Malaysia (MALBATT) di Lubnan. 

 

Penghantaran tersebut akan dibuat pada bulan ini sepertimana yang dijadualkan.

 

Mengesahkan perkara tersebut, Ketua Hal Ehwal Korporat Cendana Auto, Ruzaini Abdul Razak berkata, penghantaran itu bagaimana pun bergantung kepada situasi semasa di Lubnan.

 

 

Menurut beliau, kenderaan FFR itu dapat mempertingkatkan kelancaran operasi tentera pengaman negara.

 

 

Kenderaan
Kenderaan Cendana 4x4 FFR semasa menjalani ujian pengendalian.

 

“Ini adalah baki daripada 20 buah kenderaan Cendana 4x4 FFR yang dibeli Kementerian Pertahanan (Mindef) bagi MALBATT,” ujarnya menjawab soalan Dagang News.

 

MALBATT di bawah mandat Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) bagi menguatkuasakan keamanan di Lubnan.

 

Cendana 4x4 FFR merupakan kenderaan yang dibekalkan Cendana Auto sebagai kenderaan komunikasi khusus.

 

Kenderaan ini dipasang dengan peralatan radio perhubungan yang terletak di bahagian belakangnya beserta kelengkapan lain.

 

 

Kenderaan

 

Kenderaan
Cendana 4x4 FFR dengan corak celoreng digital Tentera Darat.

 

Cendana 4x4 FFR ini bagi menggantikan Land Rover Defender FFR yang digunakan MALBATT sejak ditugaskan di Lubnan 17 tahun lalu.

 

Mindef pada tahun 2022 telah menerima sebahagian kenderaan Cendana Auto 4x4 FFR yang dibeli bagi MALBATT termasuk 21 buah untuk kegunaan Tentera Darat.

 

Cendana 4x4 FFR mempunyai 5 tempat duduk dan dilengkapi dengan 1 rak radio serta kabinet pelbagai guna dalam kenderaan. 

 

Semasa Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2024 lalu, Cendana Auto mempamerkan dua varian baharu iaitu Vextor (Light Tactical Troop Transporter) yang merupakan prototaip ketujuh dihasilkannya dan Magatti (Light Strike Vehicle).

 

 

Kenderaan
Kenderaan pembawa senjata Cendana 4x4.

 

Vextor menggunakan enjin berkapasiti 2,000cc dilengkapi turbo serta lebih ringan dan pantas bergerak terutama di dalam hutan atau kawasan rupa bumi lasak.

 

Kenderaan tersebut telah diuji nilai sebelum ditawarkan kepada Angkatan Tentera Malaysia. - DagangNews.com