CFO Affin Bank Joanne Rodrigues dinobat `Wanita Paling Berkuasa di Asia' oleh Fortune | DagangNews Skip to main content

CFO Affin Bank Joanne Rodrigues dinobat `Wanita Paling Berkuasa di Asia' oleh Fortune

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 9 Okt - Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Affin Bank, Joanne Rodrigues dinobatkan sebagai 'Fortune's Most Powerful Women Asia 2024' oleh majalah Fortune.

 

Sebagai salah seorang daripada empat wanita Malaysia yang disenaraikan dalam penarafan tahun ini, penyertaan Joanne menonjolkan kepimpinan yang cemerlang, pandangan strategik, dan peranannya yang penting dalam transformasi pertumbuhan bank serta menekankan komitmen bank terhadap pemerkasaan wanita.

 

Kepakaran kewangan dan visi strategik Joanne telah membimbing Affin Bank melalui landskap ekonomi yang dinamik dan memacu pertumbuhan yang ketara, kata bank itu dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Sebagai pendukung kemajuan teknologi, beliau telah mengetuai pemodenan infrastruktur bahagian kewangan, bagi memastikan syarikat berkembang pesat dalam persekitaran digital yang berubah dengan cepat.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Bhd, Datuk Wan Razly Abdullah berkata pengiktirafan daripada Fortune ini menekankan sumbangan penting Joanne kepada Affin Bank.

 

"Penglibatan beliau dalam inisiatif transformasi bank, Pelan AFFIN Axelerate 2028 (AX28), telah memainkan peranan penting dalam menyelaraskan tonggak strategik bank serta perkhidmatan pelanggan, kepimpinan digital dan perbankan bertanggungjawab dengan impak.

 

Datuk Wan Razly Abdullah
                    Datuk Wan Razly Abdullah

 

 

"Sebagai salah seorang daripada empat wanita Malaysia dalam senarai berprestij ini, pencapaian beliau menjadi inspirasi kepada pemimpin wanita yang bercita-cita tinggi di seluruh industri," katanya.

 

Pada Jun 2024, Affin Bank telah disenaraikan buat kali pertama dalam senarai 'Fortune Southeast Asia 500' yang julung kali diterbitkan, membuktikan pertumbuhan luar biasa bank dan komitmen teguh terhadap inovasi di rantau ini.

 

Bank perdagangan ini juga baharu memperoleh pemegang saham besar baharu iaitu kerajaan negeri Sarawak yang dijangka merancakkan lagi pertumbuhan bank tersebut. - DagangNews.com