KUALA TERENGGANU 13 Nov - Chicken Cottage, anak syarikat Terengganu Inc yang berpangkalan di London terus mengukuhkan kedudukannya sebagai restoran jenama makanan segera halal dengan perasmian cawangan terbaharunya yang ke-67 di Camden Town, London.
Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata pembukaan cawangan baharu itu juga adalah bersempena sambutan ulang tahun ke-30 penubuhan Chicken Cottage.
Menurutnya, walaupun berdepan ketidaktentuan pasaran makanan dan hospitaliti di pasaran global ketika ini, Chicken Cottage yang terkenal dengan hidangan ayam goreng dan panggang itu optimis dapat mengukuhkan kedudukannya di pasaran United Kingdom (UK).
Melalui pelbagai pilihan menu yang disediakan untuk memenuhi citarasa ramai, Chicken Cottage telah berjaya menarik minat pelanggan dari pelbagai latar belakang, baik di United Kingdom mahupun di peringkat antarabangsa.
"Ini turut membuktikan keakraban dan komitmen terhadap kejayaan jenama ini dan cawangan Camden yang merupakan cawangan ke-10 dibuka pada tahun 2024, melengkapi cawangan di Carnoustie, Hemel Hempstead, Hounslow East, Northwood Hills, Houghton Regis, Chiswick, Holloway Road, Aylesbury dan Borough High Street," katanya.
Pembukaan cawangan baharu tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, merangkap Pengerusi Terengganu Inc. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Chicken Cottage, Greg Milne dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK, Datuk Zakri Jaafar.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sejak penubuhan Chicken Cottage, syarikat itu telah membina reputasi sebagai jenama makanan halal yang terkenal dengan hidangan lazat, restoran yang kondusif serta kualiti layanan yang sangat memuaskan.
"Dengan lebih 60 cawangan, Chicken Cottage kini memperkukuhkan kehadirannya bukan sahaja di London, malah di pelbagai kawasan lain di United Kingdom seperti Glasgow, Newcastle, Cambridge, Oxford, dan Canterbury.
"Pembukaan cawangan baharu Chicken Cottage di Camden Town ini bukan sahaja mencerminkan daya saing jenama ini di persada antarabangsa, malah membuka peluang pekerjaan serta menyumbang kepada ekonomi tempatan.
"Kami berbangga dengan pencapaian jenama ini dan berharap agar Chicken Cottage dapat terus berkembang maju di pasaran antarabangsa," katanya.
Tambahnya, cawangan baharu di Camden Town dijangka dapat memberikan pengalaman makan yang lebih dekat dan mesra kepada penduduk di kawasan sekitar, sambil menarik pelancong yang melawat bandar raya London.
"Dengan penekanan terhadap kualiti dan kepelbagaian menu, Chicken Cottage terus berusaha untuk menjadi pilihan utama dalam industri makanan segera.
"Selain Camden, Chicken Cottage akan membuka dua lagi cawangan di Oban dan Brixton sebelum akhir tahun ini.
"Kedua-dua cawangan itu akan dikendalikan oleh usahawan Nigeria, Mohammed Adebola Sheidu yang juga Pengerusi Eksekutif Brains & Hammers, salah satu syarikat hartanah terbesar di negara tersebut. - DagangNews.com