Crest yang bakal disenarai di Pasaran ACE, mahu bertapak di China, Vietnam  | DagangNews Skip to main content

Crest yang bakal disenarai di Pasaran ACE, mahu bertapak di China, Vietnam 

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 30 Sept - Crest Group Berhad yang bakal disenarai di Pasaran ACE  menumpukan pada usaha mengembangkan operasinya di China dan Vietnam serta meningkatkan tenaga kerjanya untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan semasa dan menarik yang baharu.

 

Pengarah Urusannya, Lim Siong Wai berkata, Crest juga merancang menubuhkan ibu pejabat berpusat di Selangor untuk menyelaraskan operasi di wilayah Tengah Malaysia.

 

Menurut beliau, kumpulan itu juga akan melabur dalam pengimejan termaju dan peralatan pengurusan sampel untuk bilik demonstrasinya di Malaysia, China, dan Thailand untuk meningkatkan pengalaman pelanggan.

 

Beliau berkata, Crest optimis mengenai prospek jangka panjangnya, didorong oleh kedudukan daya saing yang kukuh dalam industri.

 

"Pasaran pengimejan, analisis dan ujian di Malaysia telah mengalami pertumbuhan yang besar, berkembang daripada RM4.33 bilion pada 2020 kepada RM7.25 bilion pada 2023, dengan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun sebanyak 18.7 peratus.

 

"Pengembangan ini didorong oleh peningkatan permintaan merentas sektor utama seperti elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor, automotif, aeroangkasa, penjagaan kesihatan, sains hayat, sains bahan dan minyak dan gas, serta sokongan kerajaan dan peningkatan penggunaan IoT dan Teknologi Industri 4.0," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (Q2FY24), Crest melaporkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM3.7 juta, disokong oleh hasil sebanyak RM39.63 juta. Kumpulan itu mengekalkan margin keuntungan kasar yang sihat sebanyak 29.1 peratus dan margin keuntungan sebelum cukai sebanyak 9.3 peratus untuk Q2FY24.

 

Bagi separuh pertama FY24 (1HFY24), Crest mencatatkan jumlah hasil sebanyak RM79.28 juta dan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM6.62 juta. Hasilnya termasuk perbelanjaan penyenaraian sekali sahaja berjumlah RM2.09 juta. Dilaraskan untuk perbelanjaan ini, keuntungan sebelum cukai kumpulan itu ialah RM8.71 juta.

 

Memandangkan ini adalah laporan kewangan interim pertama Crest menjelang penyenaraian akan datang di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 9 Oktober 2024, tiada angka yang setanding untuk suku sebelumnya.

 

Kumpulan itu telah menetapkan harga IPO pada 35 sen sesaham, menyasarkan untuk mengumpul RM45.75 juta melalui terbitan saham baharu, dengan RM14.52 juta diperuntukkan untuk rancangan pengembangan.

 

Semasa Q2FY24, segmen pengimejan, analisis dan penyelesaian ujian Crest menyumbang RM32.77 juta, atau 82.7 peratus daripada jumlah hasil, manakala segmen perkhidmatan selepas jualan menjana RM6.86 juta, atau 17.3 peratus.

 

Bagi 1HFY24, segmen pengimejan, analisis dan penyelesaian ujian menyumbang RM64.9 juta, atau 81.9 peratus, dan perkhidmatan selepas jualan menyumbang RM14.4 juta, atau 18.1 peratus daripada jumlah hasil. - DagangNews.com