CTOS diramal catat keputusan lebih baik pada 4QFY24 disokong pengiktirafan projek baharu - penganalisis | DagangNews Skip to main content

CTOS diramal catat keputusan lebih baik pada 4QFY24 disokong pengiktirafan projek baharu - penganalisis

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Nov - CTOS Digital Bhd diramal merekodkan keputusan lebih baik pada 4QFY24 disokong pengiktirafan projek baharu serta prestasi cemerlang pada tahun ini, kata penganalisis.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB), ia juga akan disokong  fi akaun Utama yang ditangguhkan sebelum ini selain keyakinan komersial yang diperbaharui, momentum pertumbuhan antarabangsa dua digit yang berterusan dan sumbangan syarikat bersekutu yang lebih kukuh daripada JurisTech dan RAM Holdings.

 

"Pendapatan CTOS pada 3QFY24 pulih secara berurutan berikutan gangguan dalam pelaksanaan projek utama dan kekurangan sumbangan bersekutu pada 2QFY24.

 

"Kami mengekalkan unjuran pendapatan FY24-FY26 dengan jangkaan peningkatan pada 4QFY24 dengan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.65 sesaham," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Terdahulu, pada 3QFY24, CTOS mencatatkan keuntungan bersih RM27.6 juta pada pendapatan RM79.8 juta, masing-masing meningkat 13% dan 20% berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

 

Untuk sembilan bulan pertama (9MFY24), keuntungan bersihnya meningkat 19% tahun ke tahun kepada RM73.9 juta pada RM228.0 juta hasil yang meningkat 21%.

 

Sementara itu RHB Investment berkata, pertumbuhan yang perlahan sebelum ini adalah disebabkan margin perniagaan yang lebih rendah, kelewatan dalam pelaksanaan projek dan kos SG&A yang lebih tinggi.

 

Firma penyelidikan itu menyukai CTOS Digital kerana berada di landasan baik untuk pertumbuhan jangka panjang selain memiliki model perniagaan kalis masa hadapan serta pertumbuhan dalam rumusan berkaitan kewangan serta kredit di ASEAN. 

 

"Kami mengekalkan keuntungan bersih FY24 tetapi mengurangkan unjuran pendapatan FY25-FY26 sebanyak 11% dan 9% selepas mengambil kira hasil yang lebih perlahan dan andaian kos yang lebih tinggi," katanya.

 

RHB Investment mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.58 sesaham.- DagangNews.com