Disebalik pengukuhan ekonomi negara, PMKS terus berdepan isu tekanan margin keuntungan - SAMENTA   | DagangNews Skip to main content

Disebalik pengukuhan ekonomi negara, PMKS terus berdepan isu tekanan margin keuntungan - SAMENTA  

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Okt - Walaupun ekonomi negara menunjukkan pengukuhan tetapi kebanyakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terus berdepan pemampatan margin keuntungan disebabkan peralihan digital, kekurangan tenaga kerja dan peningkatan kos pematuhan.

 

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), Datuk William NG  menzahirkan kebimbangannya terhadap tanggapan kerajaan mengenai prestasi baik perusahaan (PMKS) berikutan kenaikan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan pengukuhan mata wang ringgit. 

 

"Hakikatnya, banyak PMKS terkesan teruk oleh peningkatan kos perniagaan, menyebabkan pemampatan margin keuntungan dan keberuntungan yang rendah.

 

"Cabaran ini diburukkan lagi dengan peningkatan kos pematuhan yang disebabkan antaranya oleh mandat e-invois yang akan datang dan pematuhan dan pelaporan piawaian Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Korporat (ESG).

 

"Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan menaikkan cukai taksiran dan caj perkhidmatan mereka kepada perniagaan antara 15% sehingga 250%.

 

"Banyak PMKS semakin terdesak, tetapi tidak tahu di mana dan bagaimana untuk mendapatkan bantuan," katanya dalam satu kenyataan. 

 

Beliau juga turut menambah kepada kenyataan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican berhubung penglibatan dengan industri untuk Belanjawan 2025.

 

 

SAMENTA
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA),
Datuk William NG

 

"Walaupun cadangan kami, sebagai persatuan tertua dan terbesar untuk PMKS, dipertimbangkan atau diterima oleh pelbagai kementerian lain sebagai persediaan untuk proses Belanjawan 2025, permohonan penyertaan kami dalam libat urus langsung dengan Perdana Menteri pada bulan Julai ditolak oleh Kementerian Kewangan. 

 

"Sebaliknya, kami diminta untuk memuatnaik 'sebarang cadangan’ ke laman sesawang Kementerian Kewangan.

 

"Libat urus tersebut penting sebagai forum untuk PMKS memberikan maklumbalas di peringkat akar umbi secara langsung kepada Perdana Menteri. Ini untuk memastikan penambahbaikan ekonomi baru-baru ini dapat diterjemahkan kepada pertumbuhan perniagaan di peringkat PMKS," katanya.

 

Beliau berharap kerajaan dapat mengelak daripada memperkenalkan sebarang cukai baharu dan tambahan yang boleh mengurangkan lagi daya saing PMKS.

 

"Sebaliknya, tumpuan harus diberikan untuk membantu PMKS kita untuk menambahbaik operasi, mengurus kos mereka, dan memanfaatkan pelbagai peluang daripada peralihan tenaga, perubahan iklim, populasi yang menua, kecerdasan buatan dan perubahan susunan ekonomi global.

 

"Kami tetap komited untuk menyokong Ekonomi Madani dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan berharap keluhan PMKS dapat ditangani dalam Belanjawan 2025," katanya.- DagangNews.com