U Mobile tandatangani MoU dengan Heriot-Watt University Malaysia, sama-sama bangunkan bakat melalui pengalaman dunia sebenar | DagangNews Skip to main content

U Mobile tandatangani MoU dengan Heriot-Watt University Malaysia, sama-sama bangunkan bakat melalui pengalaman dunia sebenar

Dari kiri, Ketua Pegawai Maklumat U Mobile, Neil Tomkinson; Ketua Perkhidmatan Korporat U Mobile, Norfazidah Abu Bakar; Ketua Pegawai Operasi dan Pendaftar, Heriot-Watt University Malaysia, Janice Yew; dan Ketua Sekolah Sains Matematik dan Komputer Heriot-Watt University Malaysia, Dr. Ian Tan di Ibu Pejabat U Mobile, baru-baru ini.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 14 Okt – U Mobile menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Heriot-Watt University Malaysia, untuk menjadi rakan strategik dalam memupuk bakat melalui pelbagai inisiatif termasuk program latihan industri dan latihan praktikal. 

 

Kerjasama itu mengukuhkan hubungan kerja yang telah terjalin antara kedua-dua pihak.


 
MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Perkhidmatan Korporat U Mobile, Norfazidah Abu Bakar dan Ketua Pegawai Operasi dan Pendaftar, Heriot-Watt University Malaysia, Janice Yew sambil disaksikan oleh Ketua Pegawai Maklumat U Mobile, Neil Tomkinson dan Ketua Sekolah Sains Matematik dan Komputer Heriot-Watt University Malaysia, Dr. Ian Tan.

 

Melalui langkah berkenaan, U Mobile berharap dapat memainkan peranan yang lebih penting dalam membantu pelajar dan graduan Heriot-Watt University Malaysia dalam transisi ke kerjaya pilihan mereka. 

 

Satu inisiatif yang sudah dilaksanakan adalah program latihan IT di mana graduan terdedah kepada teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI), pembelajaran mesin, analitik data, pengkomputeran awan dan keselamatan siber dalam persekitaran telekomunikasi yang dinamik selama dua tahun.

 

Program latihan praktikal terbabit akan memberikan pelajar pengalaman langsung dalam pelbagai aspek korporat termasuk pembangunan perisian, kejuruteraan dan kewangan, sambil meningkatkan kemahiran hidup seperti komunikasi, penyelesaian masalah, kerja berpasukan dan penyesuaian dalam persekitaran perniagaan. 

 

Di bawah MoU itu, rakan strategik juga akan bekerjasama dalam Program Latihan Graduan yang membolehkan U Mobile mengenal pasti bakat terbaik dari Heriot-Watt University Malaysia untuk keperluan pengambilan mereka.

 

Norfazidah berkata, visi U Mobile adalah untuk menjadi rakan perkhidmatan mudah alih dan digital yang paling disukai di Malaysia. 

 

"Dalam usaha mencapai visi tersebut, kami memerlukan bakat terbaik dan MoU terbaharu ini selaras dengan keutamaan korporat utama dalam memupuk dan mengekalkan bakat.

 

"Kami menantikan kehadiran pelajar terbaik dari Heriot-Watt sebagai sebahagian daripada keluarga U Mobile kerana kami percaya kami mempunyai banyak yang boleh ditawarkan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Jelas beliau, U Mobile merancang untuk mengadakan lebih banyak kerjasama dengan institusi pengajian tinggi kerana pihaknya berada dalam kedudukan terbaik untuk memberikan pengalaman dunia sebenar kepada belia Malaysia yang memulakan kerjaya mereka.

 

Yew pula berkata, beliau berharap dapat bekerjasa dengan U Mobile dalam program latihan praktikal yang memberi impak untuk meningkatkan kebolehpasaran pelajarnya.


 
"Bersama-sama, kami mahu memupuk generasi pemimpin yang berinovasi dan serta menggalakkan budaya kerjasama yang memberi manfaat kepada pelajar dan industri," ujarnya. 

 

Tahun ini, U Mobile diiktiraf sebagai Naib Juara Kedua dalam Anugerah Pilihan Graduan 2024 untuk Majikan Pilihan dalam Industri Telekomunikasi, yang mengukuhkan lagi statusnya sebagai satu daripada majikan terkemuka dalam sektor telekomunikasi dan teknologi di Malaysia. - DagangNews.com