KUALA LUMPUR 7 Jan - D&O Green Technologies Bhd (D&O) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Jing Wei Hirain Automotive Electronics Malaysia Sdn Bhd (Hirain) untuk menubuhkan syarikat operasi baharu di Malaysia, sebagai langkah strategik memperluaskan kehadirannya di pasaran elektronik automotif.
Usahasama tersebut akan memberi tumpuan kepada perkhidmatan kejuruteraan serta reka bentuk, pengeluaran dan penjualan modul automotif untuk pasaran global.
MoU yang ditandatangani pada 3 Januari 2025 itu melibatkan anak syarikat D&O, Dominant Electronics Sdn Bhd (DESB) yang dimiliki sebanyak 93.2% dan Hirain, anak syarikat Beijing Jingwei Hirain Technologies Co., yang tersenarai di Pasaran STAR Bursa Saham Shanghai.
Syarikat baharu berkenaan akan memanfaatkan kepakaran teknikal dan saluran jualan Hirain, manakala DESB akan mengurus operasi keseluruhan, termasuk pengeluaran, penyelidikan dan pembangunan tempatan, serta jualan.
Rakan kongsi berhasrat untuk memuktamadkan kerjasama itu dan menubuhkan syarikat dalam tempoh 90 hari.
D&O menyatakan, MoU itu adalah perjanjian tidak mengikat dan tidak akan memberi kesan material terhadap prestasi kewangan atau operasi syarikat.
Syarikat itu juga memaklumkan, tiada pengarah, pemegang saham utama, atau pihak yang berkaitan dengan syarikat mempunyai sebarang kepentingan dalam perjanjian berkenaan. - DagangNews.com