KUALA LUMPUR 8 Jan - HSS Engineers Bhd menerusi kerjasama antara anak syarikatnya, HEB Energy Sdn Bhd dan Unique Fire Holdings Bhd memperoleh kontrak bagi pembangunan loji kuasa solar fotovoltaik berskala besar (LSS) 95MW di Hilir Perak.
Katanya, menerusi kerjasama itu, HEB Energy akan memiliki 40% pegangan ekuiti dalam syarikat tujuan khas untuk pelaksanaan projek itu, manakala Unique Fire akan memegang baki 60%.
Konsortium HEB Energy dan Unique Fire akan melaksanakan projek pembangunan, merangkumi pembiayaan, reka bentuk, pembinaan, pemasangan, ujian, pentauliahan, penyiapan, operasi dan penyelenggaraan loji LSS.
"Anggaran tarikh operasi komersial (COD) loji LSS ialah 11 Oktober 2027," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Loji LSS itu adalah sebahagian daripada pelaksanaan pembidaan LSS Kerajaan Malaysia yang kelima, juga dikenali sebagai LSS-Peralihan Tenaga SuRia (LSS PETRA).
Inisiatif itu bertujuan untuk menyokong matlamat Malaysia untuk mencapai 70% kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050, seperti yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR).
Naib Pengerusi Eksekutif HSS Engineers, Tan Sri Ir. Kuna Sittampalam berkata, dengan projek tenaga solar kedua dan lebih besar ini, pihaknya berada dalam kedudukan penting untuk maju sebagai pemain utama dalam matlamat tenaga boleh diperbaharui (RE) Malaysia.
Beliau berkata, inisiatif itu sejajar dengan komitmen kerajaan terhadap tindakan iklim global di bawah Perjanjian Paris.
"Kami berada di puncak pertumbuhan mendalam dalam penyertaan kami dalam sektor RE, didorong inisiatif kerajaan yang progresif, termasuk peruntukan RM1 bilion untuk Skim Pembiayaan Teknologi Hijau dan RM300 juta untuk Dana Peralihan Tenaga Nasional di bawah Belanjawan 2025," katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Unique Fire, Liew Sen Hoi berkata, perjanjian kerjasama itu membolehkan pihaknya meningkatkan keupayaan penjanaan hasil dengan mengembangkan portfolio kumpulan dan mewujudkan pendapatan berulang menerusi penyertaan alam projek loji LSS itu.
"Dalam proses menerima pakai amalan mampan sebagai tindak balas kepada kebimbangan alam sekitar, keputusan pihaknya memulakan perjalanan RE dengan projek ini mengukuhkan lagi komitmen Unique Fire yang semakin meningkat untuk menyokong aspirasi Sifar Bersih Malaysia," katanya. - DagangNews.com