Exsim Hospitality raih kontrak RM47.4 juta, sediakan kerja pemasangan reka bentuk dalaman pejabat Damansara Perdana  | DagangNews Skip to main content

Exsim Hospitality raih kontrak RM47.4 juta, sediakan kerja pemasangan reka bentuk dalaman pejabat Damansara Perdana 

Scarletz suites di Kuala Lumpur - Gambar hiasan dari laman web rasmi Exsim Hospitality
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Okt - Exsim Hospitality Bhd, yang dahulunya dikenali sebagai PAN Malaysia Holdings Bhd, meraih subkontrak RM47.4 juta untuk menyediakan kerja-kerja pemasangan reka bentuk dalaman pejabat empat tingkat di Damansara Perdana.

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, anak syarikat milik penuhnya, Exsim Concepto Sdn Bhd (ECSB) menerima surat anugerah daripada Discovery Media Sdn Bhd untuk subkontrak di bawah projek yang membabitkan pembangunan 560 unit pejabat.


 
Katanya, subkontrak yang mempunyai tempoh penyiapan 24 bulan itu dijangka menyumbang secara positif kepada aset bersih, pendapatan dan penggearan masa depan kumpulan.

 

Kumpulan itu berkata, nama Pan Malaysia Holdings telah ditukar kepada Exsim Hospitality berkuat kuasa 11 Oktober 2024.

 

Pada mesyuarat agung luar biasa pada hari yang sama, para pemegang saham meluluskan pertukaran nama serta rancangan kumpulan untuk mempelbagaikan reka bentuk dalaman.

 

Ini berikutan pemerolehan 65.9% kepentingan dalam Pan Malaysia Holdings oleh Exsim Hospitality Holdings Sdn Bhd yang dimiliki oleh Lim Aik Hoe dan adik-beradiknya, Aik Kiat dan Aik Fu pada harga RM36.73 juta daripada syarikat yang dikaitkan dengan hartawan, Tan Sri Khoo Kay Peng pada April .

 

Pengarah Urusan Exsim Hospitality, Tan Hai Liang berkata, kontrak itu bukan sahaja mengukuhkan komitmen kumpulan untuk berkembang ke dalam reka bentuk dalaman dan ruang perundingan tetapi juga meletakkannya sebagai pemain utama dalam industry tersebut.

 

“Kami yakin projek bernilai RM47.37 juta ini akan menjana aliran pendapatan yang stabil sambil mempamerkan keupayaan kami dalam melaksanakan kerja-kerja pemasangan hospitaliti yang kompleks.

 

"Pencapaian ini mencerminkan tumpuan strategik kami terhadap pertumbuhan mampan dan penciptaan nilai sambil kami mengukuhkan kehadiran kami dalam sektor perhotelan dan hartanah," katanya.- DagangNews.com