KUALA LUMPUR 15 Okt - Satu kajian oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bersama Bank Dunia mendapati, pendedahan mengenai alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG) oleh syarikat tersenarai awam (PLC) Malaysia masih kurang, khususnya berkaitan perubahan iklim, alam dan biodiversiti.
Menurut laporan bertajuk Penilaian Pendedahan ESG ke atas Syarikat Tersenarai Malaysia dan Cadangan Pembangunan Dasar yang dibentangkan pada Persidangan SC-Bank Dunia 2024 hari ini, syarikat yang lebih besar mempunyai kadar pendedahan ESG yang jauh lebih baik daripada syarikat lebih kecil.
Berucap pada persidangan itu, Pengarah Eksekutif Pasaran Modal Islam SC, Sharifatul Hanizah Said Ali menekankan kepentingan mengukuhkan pendedahan ESG ketika permintaan global untuk pelaburan mampan semakin meningkat.
"Laporan bersama ini mencerminkan komitmen berterusan kami untuk memupuk pasaran modal yang lebih mampan.
"Amalan pendedahan ESG yang lebih baik dijangka mengukuhkan keyakinan pelabur dan memastikan pasaran kekal berdaya saing dan bersedia untuk masa hadapan,” katanya.
Laporan itu dibuat berdasarkan penilaian mendalam yang dijalankan antara Ogos dan Disember 2023 yang meneliti amalan pendedahan ESG bagi sampel wakil 90 syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia, serta proses dalam kalangan beberapa pemilik aset terbesar Malaysia.
Ia menggariskan, kebanyakan syarikat tersenarai Malaysia menunjukkan pendedahan korporat yang baik dan pendekatan keseluruhan yang kukuh untuk mengurus tadbir urus dan isu sosial.
Antara penemuan lain laporan adalah, pematuhan kawal selia merupakan pemacu utama pelaporan ESG korporat di Malaysia.
Mengenai amalan pendedahan ESG dalam kalangan empat pemilik aset besar Malaysia, penilaian menunjukkan tahap pendedahan ESG yang agak rendah.
Laporan itu diakhiri dengan satu set cadangan, termasuk pemantauan berterusan bersama-sama dengan perundingan untuk memastikan pelaksanaan berkesan pendedahan ESG selaras dengan Rangka Kerja Pelaporan Kelestarian Kebangsaan (NSRF) yang dilancarkan baru-baru ini.
Cadangan laporan lain termasuk menyokong pelaksanaan meluas garis panduan Bursa Malaysia untuk pelaporan kemampanan serta menggalakkan secara aktif pembangunan amalan ESG dalam kalangan pelabur domestik untuk meningkatkan daya tarikan bagi pendedahan ESG korporat.
Dalam pada itu, persidangan SC-Bank Dunia anjuran kali ke-5 kali ini dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri YB Liew Chin Tong.
Persidangan itu meneroka sinergi dalam pasaran modal dan pasaran modal Islam untuk merapatkan jurang pembiayaan untuk usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan syarikat peringkat pertengahan (MTC).
Lebih 200 pemain industri menghadiri persidangan itu termasuk usahawan, agensi kerajaan, modal teroka dan firma ekuiti swasta, institusi kewangan dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan. - DagangNews.com