MACFE dan SIDC bergabung tingkatkan kesedaran dan pendidikan hadapi scam di Malaysia | DagangNews Skip to main content

MACFE dan SIDC bergabung tingkatkan kesedaran dan pendidikan hadapi scam di Malaysia

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 15 Okt - Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah Malaysia (MACFE), cabang tempatan bagi organisasi anti-penipuan terbesar di dunia dan penyedia utama pendidikan anti-penipuan, iaitu Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah (ACFE), menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Lembaga Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC) untuk memajukan kesedaran dan pendidikan penipuan dalam pasaran modal Malaysia. 

 

Kerjasama itu menandakan langkah penting dalam memupuk kerjasama akademik antara MACFE dan SIDC, dengan komitmen untuk mempromosikan pengesanan dan pencegahan penipuan, meningkatkan kecemerlangan profesional dan menaikkan standard pendidikan pelabur di seluruh pasaran modal Malaysia. 

 

MoU tersebut ditandatangani di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 15 Oktober 2024. 

 

Inisiatif itu termasuk usaha bersama dalam kempen kesedaran, program pembangunan kapasiti dan sokongan etika untuk memperkukuh kemahiran dan pengetahuan peserta pasaran modal serta Pemeriksa Penipuan Bertauliah (CFE) di Malaysia. 

 

Presiden MACFE, Lim Huck Hai dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIDC, Tengku Zarina Tengku Chik hadir semasa pertukaran MoU. 

 

Huck Hai berkata, penandatanganan MoU itu adalah pencapaian penting dalam misi bersama untuk meningkatkan kesedaran penipuan di Malaysia. 

 

“Kerjasama ini membolehkan kami menawarkan peluang pembelajaran yang berkesan dan mempromosikan etika profesional dan integriti tertinggi dalam sektor kewangan, memastikan risiko penipuan dapat diurus dengan lebih baik di seluruh pasaran modal," katanya dalam satu kenyataan.

 

Tengku Zarina pula menyifatkan, kerjasama dengan MACFE menekankan komitmennya untuk mewujudkan persekitaran pasaran yang lebih selamat dan telus. 

 

"Bersama-sama, kami berhasrat memperkasa profesional dalam pasaran modal dengan pengetahuan dan kemahiran untuk menangani penipuan dan mengekalkan kepercayaan pelabur," ujarnya.

 

Tambah beliau, sebagai badan pembelajaran dan pembangunan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), SIDC komited untuk meningkatkan standard peserta pasaran modal dan menyokong pertumbuhan pesat industri pasaran modal melalui penyelesaian pembelajaran inovatif, pembangunan kapasiti, pensijilan profesional dan pendidikan berterusan. 

 

Dalam pada itu, Presiden ACFE, John Gill menekankan kepentingan kerjasama bermakna antara MACFE dan SIDC, yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran penipuan dan memupuk pembangunan kapasiti dalam kalangan peserta pasaran modal. 

 

“Kerjasama ini bukan sahaja mengukuhkan komitmen kami untuk mempromosikan standard etika, tetapi juga membuka jalan bagi pembangunan profesional dalam industri," katanya.

 

Melalui kerjasama tersebut, MACFE dan SIDC akan meneroka peluang untuk membangunkan sumber pembelajaran yang khusus, modul latihan dan program penglibatan yang disesuaikan untuk menangani kerumitan penipuan yang semakin meningkat dalam persekitaran perniagaan hari ini. 

 

Dengan menggabungkan kepakaran dan sumber, kedua-dua organisasi berhasrat melengkapkan profesional dengan alat yang diperlukan untuk mengenal pasti, mencegah dan melawan penipuan, sekali gus mewujudkan pasaran yang lebih selamat dan telus. - DagangNews.com