KUALA LUMPUR 20 Jan – Fajarbaru Builder Group Bhd kini secara rasminya dikenali sebagai FBG, sebagai bukti komitmennya terhadap kelestarian dan inovasi dalam sektor pembinaan dan pembangunan hartanah.
Dengan slogan baharu, The Makers of Tomorrow, FBG mahu menerajui perniagaan sambil mengekalkan fokus terhadap kualiti dan kecemerlangan perkhidmatan.
Sebagai sebahagian daripada penjenamaan semula, Fajarbaru Builder Sdn Bhd dan Fajarbaru Land (M) Sdn Bhd kini dikenali sebagai FBG Builder Sdn Bhd dan FBG Land Sdn Bhd.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Datuk Sri Chan Kong Choy berkata, penjenamaan semula ini dibuat selepas 50 tahun syarikat beroperasi, dengan fokus kepada masa depan.
"Penjenamaan semula ini bukan sekadar meraikan masa lalu kami, tetapi adalah untuk mentakrifkan masa depan kami yang berakar umbi kepada kelestarian dan menjadi bukti kepada legasi yang berkekalan serta visi kami untuk meninggalkan kesan positif pada komuniti yang kami layani.
"Dengan itu, kami mengutamakan inovasi untuk dunia yang lebih baik. Slogan baharu kami, The Makers of Tomorrow, melambangkan komitmen ini, menunjukkan dedikasi kami untuk mencipta legasi lestari untuk generasi akan datang," katanya dalam satu kenyataan.
Kong Choy berkata, kumpulan juga berharap dapat terus mengukuhkan kepercayaan jangka panjang dalam kalangan pelanggan, pelabur, serta rakan perniagaan. - DagangNews.com