KUALA LUMPUR 17 Dis - Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan untuk segera memberikan butiran mengenai pelaksanaan mekanisme levi berperingkat bagi pekerja asing.
Presidennya, Soh Thian Lai berkata, butiran mengenai mekanisme tersebut harus diumumkan enam bulan lebih awal bagi memberi masa yang mencukupi kepada industri untuk menyesuaikan diri dengan perubahan yang bakal dilaksanakan.
"Pelaksanaannya akan memberi impak kos dan memerlukan penyesuaian dalam bajet serta operasi perniagaan," katanya dalam satu kenyataan.
Thian Lai berkata, setelah dilaksanakan, skim itu akan menawarkan pendekatan yang tersusun dan berasaskan permintaan untuk pengurusan buruh, dengan levi berperingkat yang memberi insentif kepada industri untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing sambil membolehkan syarikat mengambil pekerja berdasarkan keperluan operasi.
"Ini akan memastikan peralihan secara berperingkat dan mampan ke arah model tenaga kerja yang lebih seimbang," katanya.
Beliau dalam pada itu memuji Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) kerana bersikap praktikal dengan menangguhkan pelaksanaan nisbah 80:20 pekerja tempatan kepada pekerja asing sehingga mekanisme levi berperingkat dilaksanakan.
Beliau mengakui, dasar berkenaan bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, namun ia membawa cabaran besar bagi pengilang dalam sektor yang memerlukan tenaga buruh dan pekerja kemahiran rendah.
Katanya, pekerja tempatan kurang berminat bekerja dalam sektor-sektor tersebut walaupun usaha untuk meningkatkan gaji dan faedah telah dilakukan.
"Penangguhan dasar ini memberi peluang kepada industri untuk mengamalkan strategi jangka panjang seperti meningkatkan automasi, memodenkan proses pengeluaran dan melabur dalam peningkatan kemahiran serta latihan semula pekerja tempatan bagi memenuhi keperluan peranan yang bernilai tinggi," ujarnya.
Tambah beliau, ia juga mencerminkan keprihatinan kerajaan terutamanya ketika sektor pengilangan terus bergelut dengan kekurangan tenaga kerja dan ketidaksesuaian kemahiran antara pekerja tempatan yang tersedia dan keperluan peranan industri.
"Penangguhan ini adalah praktikal dan tepat pada masanya, memastikan kesinambungan dalam operasi dan melindungi daya saing global Malaysia sambil memberi peluang kepada industri untuk bersedia bagi perubahan struktur yang diperlukan," jelas beliau. - DagangNews.com