Funding Societies | Modalku perluas produk jaminan digital melalui kerjasama dengan CGC Digital | DagangNews Skip to main content

Funding Societies | Modalku perluas produk jaminan digital melalui kerjasama dengan CGC Digital

Ketua Negara Funding Societies, Chai Kien Poon dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC Digital, Yushida Husin.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 16 Dis - Platform pembiayaan digital bersepadu terbesar untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia dan Asia Tenggara, Funding Societies | Modalku (Funding Societies), memperluaskan produk jaminan digitalnya melalui kerjasama dengan anak syarikat FinTech Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC), CGC Digital. 

 

Kerjasama itu susulan kejayaan program bukti konsep (PoC) pembiayaan rantaian bekalan digital (DSCF) yang dilancarkan tahun lalu.

 

Perluasan kerjasama tersebut merupakan pencapaian penting berikutan pelaburan CGC Digital dalam Funding Societies pada awal tahun ini. 

 

Ia menandakan langkah besar dalam usaha menyediakan sokongan kritikal kepada PMKS di Malaysia, membantu mereka mencapai kejayaan lebih besar dalam persekitaran ekonomi yang berdaya saing dan dinamik. 

 

Funding Societies bersama CGC Digital telah membangunkan dua produk jaminan kredit digital baharu, termasuk Digital Term Financing dan Micro Credit Line yang bukan sahaja memudahkan akses kepada pembiayaan, tetapi juga menawarkan penjimatan kadar keuntungan sehingga 2% setahun kepada PMKS.

 

Selain daripada produk-produk berkenaan yang merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk merapatkan jurang dan menangani masalah permintaan pembiayaan perniagaan mikro dan kecil, Funding Societies dan CGC Digital turut memperluaskan program DSCF mereka. 

 

Perluasan tersebut kini merangkumi lebih banyak industri dan pembekal, dengan tempoh pembiayaan yang lebih panjang.

 

Sejak pelancaran kedua-dua program baharu itu pada bulan September 2024, lebih RM10 juta telah diagihkan dan dimanfaatkan oleh lebih 200 perusahaan mikro dan kecil yang mempunyai kepercayaan kredit. 

 

Ini membuktikan lagi komitmen kedua-dua organisasi dalam usaha memupuk keterangkuman kewangan dan pertumbuhan untuk PMKS Malaysia, serta mengesahkan bahawa wujudnya permintaan terhadap rumusan pembiayaan sedemikian dalam kalangan perniagaan mikro dan kecil.

 

Inisiatif tersebut selari dengan matlamat lebih luas yang menumpukan kepada keterangkuman, pertumbuhan digital, kemampanan, serta meningkatkan daya tahan dan daya saing PMKS dalam jangka panjang di peringkat tempatan dan antarabangsa.

 

Ketua Negara Funding Societies Malaysia, Chai Kien Poon berkata, kerjasama dengan CGC Digital menunjukkan wawasan yang dikongsi bersama untuk memperkasakan perniagaan yang kurang mendapat perhatian di Malaysia. 

 

"Kami komited untuk mewujudkan ekosistem pembiayaan yang lebih inklusif bagi menyokong pertumbuhan perniagaan mikro dan kecil di seluruh Malaysia. 

 

"Dengan menggabungkan kepakaran luas CGC Digital dalam peningkatan kredit dengan platform pembiayaan digital Funding Societies yang serba canggih, rumusan pembiayaan digital kami membolehkan pemilik perniagaan mengakses modal yang diperlukan untuk berkembang, menggaji pekerja dan menyumbang kepada ekonomi, meningkatkan akses kepada modal dan memupuk keterangkuman kewangan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif CGC Digital, Yushida Husin pula berkata, beliau gembira dengan lanjutan kerjasama itu yang telah memberi kesan mendalam terhadap keupayaan akses kewangan PMKS Malaysia. 

 

"Lanjutan kerjasama ini adalah bukti komitmen kami yang tidak berbelah bahagi terhadap keterangkuman dan inovasi produk kewangan. Selain itu, saya juga teruja dengan inovasi produk. 

 

"Dengan mencipta inovasi baharu, kami bukan sahaja menyediakan akses kepada pembiayaan, malah kami turut merealisasikan impian dan memacu pertumbuhan ekonomi," ujarnya.

 

PMKS mewakili lebih 97% perniagaan tempatan, menyumbang kepada 39% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menggaji sebahagian besar tenaga kerja di Malaysia. 

 

Bagaimanapun, PMKS sering menghadapi kekangan dengan pilihan pembiayaan yang terhad.

 

Melalui kerjasama tersebut, Funding Societies dan CGC Digital berhasrat untuk mengukuhkan lagi tulang belakang kewangan ekonomi Malaysia, memupuk daya tahan dan pertumbuhan ekonomi menerusi peningkatan akses kepada modal. - DagangNews.com