KUALA LUMPUR 16 Dis - Gamuda Bhd menerusi anak syarikatnya di Australia, DT Infrastructure Pty Ltd memperoleh pekerjaan kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) A$625 juta (RM1.8 bilion) bagi projek pembinaan Ladang Solar Sungai Goulburn.
Gamuda berkata, peranan DT Infrastructure dalam projek itu akan merangkumi kerja-kerja infrastruktur awam, struktur dan elektrik yang diperlukan untuk ladang solar 585MW bermula 1 Januari 2025.
"Terletak di Wilayah Upper Hunter, New South Wales Ladang Solar Sungai Goulburn menyediakan sumber tenaga boleh diperbaharui (RE) yang penting kepada pengguna tenaga NSW (New South Wales)," katanya dalam atu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Kontrak itu diberikan oleh Goulburn River Fund Pty Ltd, sebagai pemegang amanah untuk Goulburn River Trust, sebuah kenderaan tujuan khas dan anak syarikat milik penuh Lightsource bp Renewable Energy Investments Ltd pada 16 Disember 2024.
Lightsource bp, kini dimiliki sepenuhnya oleh BP plc, menyampaikan projek solar berskala utiliti untuk menyahkarbon sistem tenaga dan menyediakan keselamatan bekalan.
Syarikat itu telah ditubuhkan pada 2017 sebagai usaha sama 50:50 dengan BP.
Projek-projek ini juga membantu memudahkan kemakmuran wilayah melalui pertumbuhan ekonomi tempatan. Portfolio Lightsource bp termasuk projek ladang solar Lower Wonga 350MWdc dan sistem penyimpanan tenaga bateri dan projek West Wyalong 107MWdc dengan perjanjian pembelian kuasa yang sepadan dengan Snowy Hydro.
Selain itu ia melibatkan ladang solar Wunghnu 90MWdc dan sistem simpanan tenaga bateri serta ladang solar Sandy Creek 840MWdc dan sistem simpanan tenaga bateri.- DagangNews.com