Gardenia sumbang lebih 500,000 unit produk bernilai RM600,000 kepada mangsa banjir | DagangNews Skip to main content

Gardenia sumbang lebih 500,000 unit produk bernilai RM600,000 kepada mangsa banjir

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 4 Dis – Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd terus komited dalam menyokong masyarakat yang memerlukan dengan menyumbangkan bantuan makanan kepada mangsa banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini.

 

Dalam usaha membantu mereka yang terkesan, Gardenia KL mengagihkan lebih 500,000 unit produk seperti roti putih, roti krim berperisa dan sapuan kaya kepada mangsa banjir di kawasan-kawasan yang terjejas seperti Pantai Timur, utara serta Lembah Klang. 

 

Sumbangan itu disalurkan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Malaysia di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta pihak berkuasa tempatan untuk memastikan pengagihan bantuan dilakukan dengan pantas dan berkesan.

 

Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awam Gardenia KL, Hazlinah Harun berkata, sebagai sebuah syarikat yang dekat di hati rakyat Malaysia, pihaknya amat bersimpati dengan mangsa-mangsa banjir. 

 

Katanya, sumbangan bernilai lebih RM600,000 itu dibuat menerusi #GardeniaCares, yang sentiasa menitikberatkan kebajikan rakyat Malaysia dan juga sebagai tanda penghargaan daripada syarikat kepada masyarakat yang sentiasa menyokong Gardenia KL. 

 

"Sumbangan ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat kami untuk memastikan mangsa-mangsa banjir yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sentiasa mempunyai makanan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Tambah beliau, Gardenia KL kekal komited untuk terus memainkan peranannya dalam membantu masyarakat, terutama sekali dalam situasi mencabar seperti bencana banjir. 

 

"Kami juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha membantu mangsa," jelasnya.

 

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, kementerian sentiasa menggalakkan dan menghargai sokongan daripada sektor swasta semasa bencana alam.

 

"Kami sangat menghargai bantuan dan sumbangan seperti yang diberikan oleh Gardenia KL kerana ia dapat meringankan beban mangsa.

 

"Inisiatif oleh Gardenia KL ini benar-benar menunjukkan kerjasama sektor awam-swasta demi manfaat rakyat," katanya. - DagangNews.com