GATES IT, Dewan Teraju meterai kerjasama perluas lesen perniagaan digital di Johor | DagangNews Skip to main content

GATES IT, Dewan Teraju meterai kerjasama perluas lesen perniagaan digital di Johor

Kerjasama antara GATES IT dengan Dewan Teraju Usahawan dan Peniaga Bumiputera Negeri Johor bakal memperluaskan penggunaan lesen perniagaan digital di Johor.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 21 Okt - Penggunaan lesen perniagaan digital bakal diperluaskan di negeri Johor sekali gus dapat meningkatkan kecekapan pengurusan lesen bersama pihak berkuasa tempatan (PBT).

 

Ini menerusi usahasama strategik antara GATES IT Solution Sdn. Bhd. (GATES IT) dengan Dewan Teraju Usahawan dan Peniaga Bumiputera Negeri Johor (Dewan Teraju) yang dimeterai pada 17 Oktober lalu di Johor Bahru, Johor.

 

Melalui kerjasama ini, Dewan Teraju akan menjadi yang pertama memiliki data perniagaan bumiputera lebih tepat, dikemaskini serta dapat memahami ekosistem perniagaan dengan lebih baik. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Gates IT Solution Sdn. Bhd. (Gates IT), Husni Ruslai berkata, usahasama tersebut memberi manfaat kepada Dewan Teraju khususnya para peniaga dan usahawan di negeri Johor. 

 

Perak
Husni (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Presiden Dewan Teraju, Dato' Ismail Karim selepas majlis menandatangani kerjasama di Johor Bahru, Johor.

 

 

Menurut beliau, penggunaan lesen digital menyediakan data yang tepat, lebih berkesan seterusnya membantu kerajaan negeri merancang pembangunan usahawan.

 

“Dengan sistem yang lebih teratur dan digital, proses pembaharuan lesen akan dipermudahkan selain mengurangkan masa yang diperlukan untuk pengurusan lesen. 

 

“Selain itu, peniaga akan mendapat akses kepada direktori perniagaan yang lebih efisien membolehkan mereka memperluas rangkaian dan peluang perniagaan,” ujarnya kepada Dagang News.

 

Usahasama ini menandakan satu era baru bagi pengurusan perniagaan digital yang lebih canggih dan berkesan di negeri Johor.

 

Perak

 

 

Ini juga memperkukuh dan memantapkan pelaksanaan inisiatif Johor Fast Lane sepertimana yang disasarkan kerajaan negeri.

 

Dengan pelaksanaan sistem tanpa tunai (cashless) sebagai cara pembayaran moden kepada peniaga, ia tidak hanya menjimatkan masa tetap menjadikan transaksi lebih selamat dan efisien.

 

Jelas Husni lagi, penggunaan lesen perniagaan digital di negeri Johor sebelum ini dimulakan oleh Majlis Perbandaran Kulai (MPK) yang  mencatatkan kejayaan luar biasa.

 

Katanya, hasil lesen perniagaan MPK meningkat sebanyak 37% bersamaan dengan RM1.5 juta dalam tempoh 12 bulan selepas pelaksanaan lesen perniagaan digital atau lebih dikenali sebagai KFL e-License. 

 

“Inisiatif ini adalah hasil kerjasama strategik antara MPK dan GATES IT Solution yang dimulakan sejak tahun 2022. 

 

“Peningkatan hasil lesen yang ketara ini menunjukkan bahawa lebih banyak peniaga di Kulai kini telah menyedari manfaat pelesenan yang sah dan komitmen mereka terhadap pembangunan ekonomi tempatan. 

 

“Dengan sistem digital ini, MPK juga dapat mengumpulkan data perniagaan yang lebih tepat dan terkini,” ujarnya. - DagangNews.com