GEA kutip 434 tan minyak masak terpakai di Perak hasilkan biodiesel | DagangNews Skip to main content

GEA kutip 434 tan minyak masak terpakai di Perak hasilkan biodiesel

Kakitangan GEA melakukan kutipan minyak masak terpakai dari rumah ke rumah bagi memudahkan komuniti.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 11 Nov - Sebanyak 434 tan minyak masak terpakai (UCO) berjaya dikumpul sepanjang tahun ini di negeri Perak bagi menghasilkan biodiesel iaitu melebihi sasaran 300 tan yang diletakkan syarikat Green Energy Asia (GEA).

 

Ia melibatkan nilai belian kira-kira RM1.38 juta yang telah dibayar.

 

Lonjakan kutipan ini hasil sambutan baik masyarakat, kesedaran tentang amalan kitar semula dan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT).

 

Ketua Pembangunan Perniagaan GEA, Muhammad Aswad Abdul Rashid berkata, angka kutipan itu dijangka meningkat sehingga penghujung Disember ini.

 

 

Perak
Muhammad Aswad (tiga dari kiri) semasa menjayakan program kutipan minyak masak terpakai dengan kerjasama Majlis Perbandaran Manjung di Lumut.

 

Bagaimana pun katanya, ini hanyalah sebahagian daripada minyak masak terpakai kerana masih ada kegiatan mengumpul minyak masak oleh pengutip tidak berlesen.

 

“Kita tidak tahu ke mana minyak masak terpakai tersebut dihantar, malah mungkin kembali ke dalam rantaian makanan seharian kita.

 

“Usaha harus diterus dan dilipat gandakan oleh semua pihak bagi memastikan keterjaminan keselamatan makanan kita serta mengelakkan pencemaran berlaku di sekeliling kita,” ujarnya kepada Dagang News.

 

GEA merupakan syarikat yang mengutip dan membeli minyak masak terpakai berlesen dan bersijil dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) serta International Sustainability & Carbon Certification.

 

Perak

 

Perak

 

Muhammad Aswad memberitahu, terbaru Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) memeterai kerjasama melantik GEA melalui Biovisma Sdn. Bhd. sebagai rakan strategik bagi inisiatif ekonomi kitaran.

 

Ini bagi menjalankan program kutipan minyak masak terpakai selama setahun sebelum disambung atas persetujuan kedua-dua pihak.

 

“Antara lain ia bagi menggalakkan penduduk mengamalkan kitar semula minyak masak terpakai melalui saluran yang diyakini seperti GEA,” ujarnya.

 

Dalam pada itu, GEA juga mencipta kejayaan tersendiri apabila menerima anugerah Syarikat Terbaik 2024 kategori Kelestarian oleh majalah perniagaan, TOP10 pada 3 Disember lalu dalam satu majlis di Kuala Lumpur.

 

 

Perak
Petugas-petugas GEA bersama anugerah Syarikat Terbaik 2024 kategori Kelestarian yang diterima daripada majalah perniagaan TOP10 di Kuala Lumpur.

 

Ia bagi menghargai peranan dan sumbangan syarikat dalam menguruskan sisa minyak masak terpakai dalam negara. 

 

Kata Muhammad Aswad, pengiktirafan ini mencerminkan kepercayaan dan keyakinan pelanggan terhadap usaha-usaha yang dilakukan oleh syarikat.

 

“Ini sebagai pengiktirafan atas komitmen kami yang tidak berbelah bahagi terhadap kelestarian alam sekitar dan usaha inovatif dalam menukar minyak masak terpakai kepada bahan asas biodiesel,” ujarnya. - DagangNews.com