GHL perluas perkhidmatan DuitNow QR bantu peningkatan transaksi tanpa tunai di seluruh Asia | DagangNews Skip to main content

GHL perluas perkhidmatan DuitNow QR bantu peningkatan transaksi tanpa tunai di seluruh Asia

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 27 Nov - NTT DATA Payment Services Sdn. Bhd. (dahulu dikenali sebagai GHL Systems Sdn. Bhd.) mengumumkan penambahbaikan terbaharu kepada perkhidmatan DuitNow QR mereka, bagi menyokong pembayaran dompet rentas sempadan. 

 

Sebagai peserta dalam Platform Pembayaran Runcit Masa Nyata (RPP) PayNet, GHL kini membolehkan peniaga menerima pembayaran melalui DuitNow QR daripada platform pembayaran antarabangsa utama seperti Alipay+, Weixin Pay, UnionPay, BC Card (Korea Selatan), QRIS (Indonesia), NETS (Singapura) dan ITMX (Thailand).

 

Dengan lebih 480,000 titik sentuhan peniaga yang dikuasakan oleh GHL di seluruh Malaysia, ciri baharu itu membolehkan perniagaan menerima pembayaran QR masa nyata daripada pengunjung antarabangsa dengan kadar pertukaran asing yang kompetitif. 

 

Dilancarkan pada September 2023 untuk menyokong bank tempatan dan e-dompet, peluasan kepada pembayaran rentas sempadan tersebut memperluaskan lagi tawaran GHL, memudahkan transaksi yang lancar dan mudah bagi menyokong peningkatan jumlah pelancong antarabangsa.

 

CEO GHL Malaysia, Kevin Lee berkata, pelancaran DuitNow QR Cross-Border menandakan satu pencapaian penting bagi GHL dan ekosistem pembayaran yang lebih luas di Malaysia.

 

"Ia memberi kuasa kepada rakan peniaga kami, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menawarkan penyelesaian pembayaran yang selamat, mudah dan cekap. 

 

"Ini juga memberikan pelancong cara yang mudah untuk membuat pembelian, sekali gus meningkatkan perbelanjaan dan mempertingkatkan pengalaman perjalanan di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

 

Ketua Pegawai Pemasaran PayNet, Gary Yeoh berkata, pihaknya gembira mempunyai GHL sebagai rakan rentas sempadan yang menandakan kemajuan penting dalam komitmen syarikat untuk meningkatkan pengalaman pembayaran bagi pelancong antarabangsa. 

 

"Kerjasama ini menyediakan kemudahan yang dinikmati pengunjung di negara asal mereka serta keselamatan transaksi tanpa tunai, memastikan pembayaran rentas sempadan yang lancar. 

 

"Ia memperkukuh dedikasi kami dalam membina ekosistem kewangan yang lebih inklusif dan terhubung," ujar beliau.

 

Antara peniaga GHL yang mendapat manfaat daripada perkhidmatan itu adalah Tealive, jenama teh gaya hidup serantau yang terkemuka dengan lebih 800 cawangan di seluruh Malaysia. 

 

Tealive telah sepenuhnya mengintegrasikan DuitNow QR Cross-Border, membolehkan pembayaran daripada pelancong yang datang dari Singapura, China, Indonesia, Thailand dan Korea Selatan, meningkatkan kemudahan pelanggan dan memupuk kesetiaan.

 

Pengasas dan CEO Loob Holding Sdn Bhd yang memiliki Tealive, Bryan Loo berkata, sebagai satu daripada perintis pembayaran e-dompet, Tealive sentiasa mencari cara untuk meningkatkan kemudahan pelanggan. 

 

"Dengan menyokong DuitNow QR Cross-Border, kami memudahkan pelancong menikmati minuman kegemaran mereka semasa berada di Malaysia, sekali gus membantu meningkatkan perbelanjaan pelancongan dan kepuasan pelanggan," jelasnya.

 

Sebagai sebahagian daripada kempen Pertukaran Asing (FX), Tealive juga mempromosikan Weixin Pay (dikenali di Malaysia sebagai WeChat Pay) di beberapa cawangan terpilih, membolehkan pelancong dari China di destinasi utama seperti Genting, Langkawi dan KLCC membuat pembelian tanpa tunai dengan mengimbas kod QR DuitNow. 

 

Perkhidmatan berkenaan menukar secara automatik Yuan China (CNY) kepada Ringgit Malaysia (MYR), menawarkan pengalaman pembayaran yang lancar dan meningkatkan kemudahan bagi pengunjung.

 

Penggunaan DuitNow QR Cross-Border telah menyumbang kepada peningkatan yang ketara dalam perbelanjaan pelancongan di Malaysia, terutamanya daripada pelancong China yang menggunakan Alipay+. 

 

Menurut data dari PayNet, transaksi QR masuk meningkat lebih 550%, daripada RM26.4 juta pada separuh kedua 2023 kepada RM167 juta pada separuh pertama 2024. 

 

Dengan lebih tiga bilion pengguna berpotensi di seluruh China, India dan ASEAN, impak ekonomi pembayaran QR rentas sempadan adalah besar, memberi sumbangan signifikan kepada sektor pelancongan Malaysia yang semakin berkembang.

 

Kini, lebih 80% peniaga DuitNow yang sedia ada menerima pembayaran DuitNow QR Cross-Border. 

 

Selain itu, sebanyak 12 bank dan penyedia perkhidmatan pembayaran di Malaysia menyokong perkhidmatan terbabit termasuk AmBank, CIMB, OCBC, Hong Leong Bank, Maybank, UOB, Public Bank, Razer, Boost, Finexus dan Touch ‘N Go, dengan lebih banyak dijangka menyertainya dalam masa terdekat.

 

Peluasan DuitNow QR Cross-Border menekankan komitmen GHL untuk menyediakan rumusan pembayaran yang lancar, selamat dan inklusif. 

 

Dengan memupuk ekosistem tanpa tunai yang memberi kuasa kepada kedua-dua perniagaan dan pengguna, GHL bertekad untuk memajukan perdagangan rentas sempadan dan mempertingkatkan landskap ekonomi di Malaysia. - DagangNews.com