KUALA LUMPUR 10 Dis - Globetronics Technology Bhd (GTB), menerusi anak syarikatnya, Globetronics Manufacturing Sdn. Bhd. (GMSB), menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Invest-in-Penang Berhad (InvestPenang) untuk menyokong inisiatif Penang Silicon Design @5km+ (PSD@5km+).
Kerjasama tersebut menekankan komitmen pemain terkemuka dalam industri Perhimpunan dan Ujian Semikonduktor Sumber Luar (OSAT) serta industri semikonduktor itu, dalam memajukan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab global untuk inovasi semikonduktor.
Inisiatif PSD@5km+ merupakan program strategik yang dilancarkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk memperkukuh ekosistem reka bentuk semikonduktor dan litar bersepadu (IC).
Program berkenaan melibatkan penubuhan Penang IC Design & Digital Park, Penang Chip Design Academy dan Silicon Research & Incubation Space yang bertujuan memupuk inovasi, pembangunan bakat dan keusahawanan dalam sektor semikonduktor.
Dalam kerjasama itu, GTB akan memainkan peranan utama sebagai penyedia OSAT.
Skop kerjasama meliputi sokongan kepada pusat reka bentuk cip dengan reka bentuk pakej dan pembangunan proses, pembinaan sampel kejuruteraan ujian pemasangan, serta pembinaan kelayakan.
Setelah pelaksanaannya berjaya, GTB menyasarkan untuk memperluaskan usaha pengeluaran besar-besaran, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam rantaian bekalan semikonduktor di rantau ini.
InvestPenang akan memudahkan penyelarasan antara pihak berkepentingan dan memastikan ia sejajar dengan objektif inisiatif, memanfaatkan struktur tadbir urus serta sumber yang ada untuk menarik pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan dan membina saluran bakat yang kukuh dalam industri semikonduktor.
Pengurusan GTB berkata, kerjasama dengan InvestPenang mencerminkan visi bersama untuk meletakkan Pulau Pinang sebagai peneraju global dalam inovasi semikonduktor.
"Dengan memanfaatkan keupayaan dan kepakaran pembuatan termaju kami, kami komited untuk memacu kejayaan inisiatif PSD@5km+ dan menyumbang kepada pertumbuhan ekosistem semikonduktor tempatan," katanya dalam satu kenyataan.
Perkongsian tersebut menonjolkan hala tuju strategik GTB dalam berinovasi dan mengembangkan tawaran produk mereka selaras dengan permintaan yang semakin meningkat di rantau ini untuk penyelesaian semikonduktor. - DagangNews.com