KUALA LUMPUR 24 Dis - Penggubalan Rang Undang Undang (RUU) Pekerja Gig perlu menyokong peluang pendapatan yang fleksibel dan boleh disesuaikan dengan perubahan keperluan kedua-dua pasaran tempatan serta ekonomi gig.
Syarikat perkhidmatan e-hailing, Grab Malaysia berkata, fleksibiliti itu wajar dipelihara walaupun mereka diberikan beberapa perlindungan sosial dan sebarang peraturan tidak seharusnya mengenakan model atau kategori kerja tradisional kepada pekerja gig.
Menurut Grab Malaysia, kajian MyDigital menunjukkan, sebanyak 60 peratus responden memilih waktu kerja yang fleksibel sebagai faktor utama pekerja gig menceburi bidang berkenaan selain pendapatan tambahan dan kebolehcapaian.
"Di Grab, kami menawarkan peluang pendapatan fleksibel dilengkapi GrabBenefits iaitu program faedah pertama seumpamanya untuk ekonomi gig Malaysia yang bertujuan melindungi mata pencarian serta kebajikan mereka.
"Kami komited memupuk persekitaran di mana pekerja gig boleh berkembang maju. Kami mengharapkan kerjasama dan penglibatan berterusan kerajaan dan pihak berkepentingan untuk memastikan masa depan yang seimbang, adil dan mampan untuk industri," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Grab Malaysia, sebarang perubahan peraturan sepatutnya menggalakkan inovasi sambil melindungi kebebasan pekerja gig kerana sektor tersebut luas, pelbagai dan berkembang pesat merentas banyak industri.
Ia termasuk hiburan, pertanian, pembuatan dan perkhidmatan, malah di Malaysia sahaja, terdapat lebih 120 platform buruh digital berbanding hanya 11 kira-kira sedekad lalu.
"Pertumbuhan pesat ini bermakna sebarang peraturan akan memberi kesan kepada kumpulan tenaga kerja Malaysia yang lebih besar, menjadikan kerjasama erat penting dalam penggubalannya.
"Kami percaya dengan memupuk kerjasama antara pengawal selia, platform dan pekerja gig, kami boleh mencipta penyelesaian yang inovatif dan mampan bagi memenuhi keperluan semua orang," ujarnya.
Sementara itu, Foodpanda berkata, pihaknya yakin hasil yang adil boleh dicapai melalui kerjasama sebelum pembentangan akta tersebut.
"Walaupun masih terlalu awal untuk menentukan bagaimana RUU yang dicadangkan ini akan memberi kesan kepada industri gig, kami percaya ia akan membawa hasil yang adil.
"Sama seperti kerajaan, kami juga ingin membangunkan rangka kerja yang melindungi pekerja gig, memupuk inovasi dan mengukuhkan kedudukan negara sebagai peneraju ekonomi digital," jelasnya.
Tambah Foodpanda, pihaknya turut menyokong inisiatif kerajaan yang meningkatkan kebajikan pekerja gig sambil mengekalkan fleksibiliti dan kebebasan.
"Ia menjadi teras kepada ekonomi gig dan dihargai oleh rakan penghantar kami," ujarnya.
Penangguhan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig memberi peluang kepada semua pihak berkepentingan terutamanya pemain industri sektor gig untuk terlibat bagi membangunkan akta yang seimbang dan inklusif. - DagangNews.com