GX Bank, Boost Bank diterima sebagai ahli Persatuan Bank-Bank Malaysia | DagangNews Skip to main content

GX Bank, Boost Bank diterima sebagai ahli Persatuan Bank-Bank Malaysia

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 6 Nov - Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM) menerima GX Bank Bhd (GX Bank) dan Boost Bank Bhd (Boost Bank) sebagai ahli baharu, menandakan satu detik penting dalam industri perbankan Malaysia.

 

Ini menonjolkan komitmen ABM untuk memupuk persekitaran perbankan yang dinamik dan inklusif, yang menggabungkan inovasi digital bersama nilai-nilai perbankan tradisional.

 

Pengarah Eksekutif ABM, Dr Amina Kayani berkata, penerimaan GX Bank dan Boost Bank sebagai ahli keluarga ABM adalah satu penghormatan dan langkah yang tepat pada masanya dalam perjalanan ke arah sektor perbankan yang inklusif dan berpandangan jauh. 

 

“Keahlian mereka dalam ABM seiring dengan sambutan ulang tahun ke-50 kami, mewakili satu bab baharu di mana bank digital dan tradisional bekerjasama untuk memperkukuhkan landskap kewangan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Dr Amina berkata, kemasukan bank digital seperti GX Bank dan Boost Bank menandakan peralihan ke arah ekosistem perbankan di mana entiti tradisional dan digital bersatu dalam matlamat yang sama.

 

Dengan memupuk kerjasama merentasi spektrum ini, ABM mengukuhkan industri yang kekal fleksibel, berdaya tahan dan fokus untuk memenuhi keperluan masyarakat yang pelbagai.

 

“Kami teruja untuk melihat sumbangan yang akan dibawa oleh pemain digital ini dalam memajukan inklusi kewangan, inovasi yang berpusatkan pelanggan dan pertumbuhan mampan demi manfaat semua rakyat Malaysia,” ujar beliau. - DagangNews.com