KUALA LUMPUR 6 Nov - Roths Investment Bank (RIB) yang berpusat di Labuan menjalin kerjasama strategik dengan Central Wealth Group Holdings Ltd (CWG), sebuah institusi perkhidmatan kewangan terkemuka yang tersenarai di Hong Kong, untuk memperkukuhkan keupayaan perkhidmatannya di peringkat antarabangsa.
Kerjasama itu merupakan langkah penting bagi RIB dalam memajukan misinya untuk memudahkan akses pelaburan merentas sempadan ke Asia Tenggara, Hong Kong dan tanah besar China.
Dengan pengalaman luas CWG dalam bidang perantara sekuriti, pengurusan aset dan pembiayaan korporat, perkongsian terbabit akan memperkukuhkan kapasiti bersama kedua-dua institusi dalam menyediakan penyelesaian kewangan yang komprehensif.
Naib Presiden Kanan RIB, Sam Chan berkata, kerjasama itu memperkukuhkan capaian antarabangsa syarikat dengan ketara.
“Dengan menggabungkan kepakaran CWG yang sudah terbukti dengan keupayaan kewangan RIB, kami berada dalam posisi untuk menyediakan akses yang boleh dipercayai dan lancar kepada pelabur global untuk merebut peluang pertumbuhan yang tinggi di seluruh Asia.
"Bersama-sama, kami mengukuhkan komitmen untuk menjadikan Labuan hab kewangan terkemuka,” katanya dalam satu kenyataan.
RIB akan memanfaatkan hubungan CWG di China, sementara platform RIB di Labuan akan berfungsi sebagai titik masuk yang selamat dan cekap bagi pelabur yang ingin memanfaatkan pertumbuhan Asia.
Menurut perjanjian tersebut, RIB dan CWG akan bekerjasama rapat untuk menyediakan penyelesaian dalam pembiayaan korporat, nasihat pelaburan, perdagangan sekuriti dan pengurusan aset.
Perkongsian berkenaan akan memberi tumpuan kepada peluang merentas sempadan yang inovatif, memanfaatkan kekuatan setiap institusi untuk menyokong pelbagai keperluan pelaburan dan mencipta nilai bagi pelanggan di seluruh dunia.
Melalui rangkaian kerjasama antarabangsa yang semakin berkembang, RIB berhasrat untuk merapatkan pasaran global dan memacu pertumbuhan dalam ekosistem perkhidmatan kewangan Labuan.
Perkongsian dengan CWG memperkukuhkan lagi peranan RIB sebagai saluran untuk pelabur antarabangsa, membolehkan mereka untuk mengambil bahagian dalam sektor kewangan Asia Tenggara dan China yang berkembang pesat.
Dengan kerjasama tersebut, RIB dan CWG bersedia untuk membuka potensi pelanggan baharu, mewujudkan persekitaran pelaburan dengan kebolehcapaian, pertumbuhan dan kesalinghubungan global. - DagangNews.com