Hab komuniti CIMB bakal bantu NGO, bangunkan inisiatif memanfaatkan orang ramai | DagangNews Skip to main content

Hab komuniti CIMB bakal bantu NGO, bangunkan inisiatif memanfaatkan orang ramai

Hab Komuniti CIMB di cawangan bank CIMB di Plaza Damansara. Gambar hiasan Dagangnews/SYAZA
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Dis - CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd memperkenalkan Hab Komuniti, iaitu ruang libat urus di dalam cawangan bank yang terpilih untuk memperkasakan badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai dengan membiayai inisiatif-inisiatif yang membangunkan komuniti. 

 

Sempena meraikan ulang tahun bank ke-100, CIMB membangunkan ruang unik itu bertindak sebagai fasiliti usahasama yang membolehkan NGO, pelanggan dan masyarakat setempat bersama-sama mengemukakan inisiatif berkesan untuk sokongan CIMB bagi menangani keperluan segera masyarakat. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif, Pengguna dan Perbankan Digital Kumpulan CIMB Group, Effendy Shahul Hamid berkata, CIMB merancang untuk mengembangkan model itu ke cawangan-cawangan lain di seluruh negara. 

 

“Dengan mewujudkan lebih banyak hab komuniti, ia akan bagi memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk terlibat sama dalam inisiatif- inisiatif bermakna dan menyokong masyarakat secara aktif di bawah kendalian bank.

 

“Melalui fasiliti seperti hab komuniti ini, kami boleh mengenal pasti dan menangani keperluan-keperluan mendesak secara kolektif, seterusnya membangunkan penyelesaian mampan yang memperkasa golongan kurang berkemampuan,” katanya semasa sesi siding media di Majlis pelancaran kad debit Visa CIMB di Kuala Lumpur, hari ini.

 

Beliau juga menekankan kepentingan hab ini yang akan memberikan peluang kepada ketua komuniti, NGO dan orang ramai untuk kemukan idea dan inisiatif kepada bank. 

 

Sementara itu, melalui penubuhan Hab Komuniti itu, CIMB berhasrat untuk memperkukuh libat urus bersama pelanggan dan bekerjasama dengan rakan komuniti tempatan. - DagangNews.com