Harga keluli, logam pada Oktober 2024 menguncup sehingga 4.9 peratus - DOSM | DagangNews Skip to main content

Harga keluli, logam pada Oktober 2024 menguncup sehingga 4.9 peratus - DOSM

Oleh BERNAMA

KUALA LUMPUR 12 Nov - Indeks harga seunit keratan keluli dan logam bagi Oktober 2024 menguncup -0.6% sehingga -4.9% bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak berbanding bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan tertinggi dicatatkan di Perak (-4.9%) dan diikuti oleh Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (-2.0%) manakala Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (-1.2%).

 

“Indeks harga seunit besi juga susut -0.4% hingga -3.2% bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

 

“Selain itu, indeks harga seunit simen turut mencatat penurunan kecil -0.1% hingga -0.7% bagi beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak bagi Oktober 2024,” katanya dalam kenyataan Indeks Kos Bahan Binaan (IKB) Oktober 2024, hari ini.

 

Menjelaskan selanjutnya, Mohd Uzir berkata, perbandingan tahunan bagi tempoh Oktober 2023 dan Oktober 2024 menunjukkan indeks harga seunit simen meningkat 0.2% hingga 3.0% bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

 

Peningkatan tertinggi dicatatkan di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (3.0%) dan diikuti oleh Johor dan Pahang iaitu masing-masing pada 2.7%.

 

Purata harga simen (Ordinary Portland) kekal tidak berubah berbanding pada September 2024 dengan purata harga RM23.22 bagi setiap karung 50 kilogram,” katanya.

 

DOSM

 

Dalam pada itu, beliau berkata perbandingan tahunan indeks Harga seunit besi mencatat penurunan -0.8% hingga -4.2% pada Oktober 2024 berbanding tempoh sama tahun lepas bagi beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

 

“Purata harga seunit besi merangkumi bar bulat keluli lembut dan bar cacat tekanan tinggi Mycon 60 mencatat penurunan kecil (-1.0%) dengan purata harga RM3,631.58 bagi setiap tan metrik berbanding bulan sebelumnya (September 2024 RM3,667.96 setiap tan).

 

IKB yang turut merangkumi bar keluli mengikut kategori bangunan dan kawasan di Semenanjung Malaysia, merekodkan penurunan kecil -0.1% hingga -3.0% pada Oktober 2024 berbanding bulan sebelumnya.

 

Di Sabah, beliau berkata IKB termasuk bar keluli turut menunjukkan penurunan kecil -0.1% hingga -0.6% bagi hampir semua kategori bangunan kecuali bangunan kayu dan cerucuk kayu di Kota Kinabalu dan Sandakan manakala IKB bagi hampir semua kategori bangunan di Tawau pula tidak berubah.

 

Bagi Sarawak, IKB termasuk bar keluli pada Oktober 2024 merekodkan penurunan kecil -0.2% hingga -1.6% bagi hampir semua kategori bangunan di Kuching dan Miri. “IKB termasuk bar keluli bagi hampir semua kategori bangunan di Sibu pula meningkat sedikit 0.8% hingga 1.6%,” katanya.

 

“Selepas tiga tahun susut, WSA menjangkakan pemulihan akan berlaku pada 2025 (tidak termasuk China), dengan permintaan diunjur meningkat sebanyak 1.2%,” katanya. - DagangNews.com