KUALA LUMPUR 15 Jan - Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka berada pada purata RM4,000 satu tan tahun ini, berbanding harga pasaran semasa RM4,450 satu tan, berikutan dinamik penawaran permintaan yang lebih lemah, kata CGS International.
Pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) diramal meningkat sebanyak 3% tahun ini berikutan pemulihan tahap pengeluaran Indonesia bermula suku kedua 2025 dan seterusnya.
“Dengan keadaan iklim yang stabil, kami menjangkakan pemulihan ketara dalam pengeluaran Indonesia pada 2025.
“Sebaliknya, kami meramalkan pengeluaran minyak sawit Malaysia sebahagian besarnya kekal mendatar pada 2025, berikutan pemulihan kukuh pada 2024,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu menjangkakan, permintaan global untuk MSM meningkat 1% tahun ke tahun pada 2025, didorong oleh permintaan untuk program biodiesel B40 di Indonesia.
Indonesia menjangka pelaksanaan dasar B40 akan meningkatkan kuota biodieselnya kepada 15.6 juta kiloliter (kl) pada 2025, meningkat 16% daripada 13.4 juta kiloliter pada 2024.
Bekalan minyak makan pesaing diunjurkan meningkat tahun ini dengan ketersediaan lebih banyak minyak soya di pasaran.
Memetik Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), firma penyelidikan itu berkata, pengeluaran minyak sawit tempatan berkembang 4% pada 2024, manakala eksport melonjak 12% hasil pengeluaran yang lebih rendah di Indonesia.
Ini mengakibatkan inventori minyak sawit Malaysia menurun kepada paras terendah 1.7 juta tan menjelang akhir 2024.
Selain itu, harga MSM yang tinggi, dengan purata RM4,840 satu tan, melebihi suku keempat 2024 menyebabkan CGS Internantional menjangkakan kebanyakan syarikat perladangan tempatan mencapai keputusan kukuh pada suku keempat 2024.
Walaupun harga MSM dijangka terus kekal tinggi pada suku pertama 2025, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "neutral" terhadap sektor itu kerana ia menyaksikan potensi pembetulan harga MSM pada suku kedua 2025, didorong pemulihan dalam pengeluaran minyak sawit, terutamanya di Indonesia dan bekalan yang lebih tinggi daripada minyak sayuran.
“Kami menyukai SD Guthrie kerana penjanaan kewangan proaktif ke atas bank tanahnya yang besar melalui pembangunan taman perindustrian dan projek tenaga boleh diperbaharui (RE).
“Kami percaya Hap Seng Plantations akan mengumumkan keputusan suku keempat 2024 yang mengatasi prestasi rakan setaranya disebabkan oleh harga jualan purata MSM yang lebih tinggi dan pengurusan kos yang lebih baik," katanya.- DagangNews.com